Tawar pelancongan Islam

Tawar pelancongan Islam

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 6 Mac – Pelancongan Islam atau pelancongan halal menjadi tumpuan Syarikat At-Taqwa Travel Tours menarik pengunjung ke petak mereka pada hari terakhir Pameran Pelancongan RB di Pusat Insani hari ini.

Menurut Ketua Pelancongan syarikat itu, Pengiran Siti Mawarnie binti Pengiran Haji Ibrahim, pelancongan halal merupakan sub-kategori pelancongan yang memberikan perkhidmatan kepada pelancong untuk mengunjungi tempat dilawati, penginapan dan tempat makan yang mematuhi undang-undang Islam, memberikan privasi kepada kaum wanita dan lelaki.

“Sebahagian daripada perniagaan teras utama kami adalah untuk mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan Islam di luar sana di mana sub-kategori itu sendiri adalah industri yang sedang berkembang pesat di dunia pada masa kini,” tambah Pengiran Siti Mawarnie.

Beliau menjelaskan terdapat kesukaran bagi pelancong yang beragama Islam untuk melawati tempat menarik serta menginap dan mencari tempat makan yang halal dan sebagainya.

Gambar ramai warga Syarikat At-Taqwa di pameran pelancongan itu.
Gambar ramai warga Syarikat At-Taqwa di pameran pelancongan itu.

“Kebanyakan daripada mereka (pelancong) mementingkan privasi mereka serta inginkan kemudahan di mana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan di bawah satu bumbung yang dapat memberikan mereka maklumat mengenai tempat-tempat makan yang halal dan tempat penginapan yang mempunyai perkhidmatan khusus yang berasingan bagi lelaki dan wanita, justeru itu di At-Taqwa Travel Tours, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan tersebut,” katanya.

Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd yang mula beroperasi November tahun lepas adalah sebuah syarikat yang berorientasikan pematuhan kepada syariah Islam, menyediakan perkhidmatan pakej-pakej peranginan ke negara-negara di Asia Tenggara dan juga di rantau yang lain seperti Turki dan Sepanyol dengan sokongan seramai enam orang kakitangan tempatan.

“Dalam masa yang sama juga kami ingin mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah destinasi negara Islam yang menarik bagi pelancong-pelancong yang ingin mengetahui mengenai pengaruh agama Islam di sini dan melawati tempat-tempat menarik yang bertemakan Islam dan mementingkan tradisi dan budaya MIB (Melayu Islam Beraja) sebagai pegangan hidup,” menurutnya lagi.

Selain itu, syarikat ini juga berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang akan datang iaitu pakej umrah dan haji bagi penduduk tempatan yang ingin mengerjakan umrah dan haji.

ARTIKEL YANG SAMA