Tawaran hebat pemegang kad Bank Baiduri

Tawaran hebat pemegang kad Bank Baiduri

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Bank Baiduri merupakan bank rasmi bagi edisi terkini Pesta Pelancongan Brunei anjuran Sabre Travel Network yang akan berlangsung di Dewan Serba Guna Green Quartz, Hotel Centrepoint, Gadong bermula esok hingga 4 September nanti.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, Ketua Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof dipetik menyatakan amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Sabre Travel Network yang memberikan peluang untuk bekerjasama dengan mereka serta menjadikan Bank Baiduri sebagai bank rasmi bagi acara pelancongan yang penting itu.

Beliau menambah bahawa dengan pengalaman selama 12 tahun menyokong Pesta Pelancongan Brunei, bank berkenaan telah mendapat pengalaman yang amat berharga serta telah berpeluang untuk bekerjasama dengan pelbagai syarikat penerbangan serta agensi pelancongan untuk membuat pakej promosi yang menarik bagi pemegang-pemegang kad Bank Baiduri.

Pierre berkata, sebagai bank rasmi dalam acara itu, matlamat utama adalah untuk memberikan sokongan perniagaan perbankan terbaik bagi para peserta pesta itu di mana terminal kad disediakan di setiap petak pameran untuk menerima pembayaran kad daripada empat jenama kad utama iaitu Visa, Mastercard, American Express dan UnionPay.

Beliau berkata, harapannya adalah untuk memberikan kemudahan dan sekuriti yang terbaik kepada setiap pengunjung yang datang untuk membuat tempahan pakej percutian impian mereka tanpa khuatir untuk membawa bersama wang tunai yang banyak ke acara itu.

Sementara itu, Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Mustapha berkata bahawa Bank Baiduri sentiasa bersedia untuk mengambil bahagian dalam pesta pelancongan tahunan itu dan bagi 2016, pemegang kad Baiduri akan mendapat pelbagai tawaran yang menarik.

Menurut kenyataan itu, ahli Baiduri Prestige yang berbelanja $1,500 atau lebih bagi mana-mana tiket Penerbangan Diraja Brunei (RB) dengan kad Baiduri Prestige mereka boleh menikmati rebat sebanyak $150 iaitu terhad kepada 10 penebusan sehari.

Manakala itu, ahli Smart Executive Baiduri yang berbelanja $1,000 atau lebih bagi mana-mana tiket penerbangan RB dengan kad Smart Executive Baiduri mereka boleh menikmati rebat sebanyak $100 di mana tawaran eksklusif itu adalah terhad kepada 10 orang ahli Smart Executive sehari.

Sementara itu, bagi mereka yang berbelanja $1,000 dan ke atas bagi mana-mana tiket penerbangan RB menggunakan kad kredit dan debit Baiduri mereka, boleh menikmati rebat sebanyak $100 dan ia adalah terhad kepada 20 penebusan sehari.

Rebat itu perlu dibuat di petak Bank Baiduri dan hanya yang dahulu didahulukan.

Selain daripada itu, bagi setiap penggunaan kad kredit atau debit Baiduri semasa pesta berkenaan, pelanggan layak untuk membuat cabutan bertuah bagi memenangi baucar makan dan hadiah eksklusif.

Menurut kenyataan itu lagi, para pelanggan yang mempunyai kad kredit Royal Brunei Airlines American Express yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri boleh membuat permohonan bagi program pembiayaan Fly Now, Pay Later dan menukarkan pembelian mereka kepada bayaran bulanan manakala itu, pemegang kad Visa, Mastercard dan American Express Baiduri boleh memohon bagi pelan bayaran bulanan 0 peratus di mana mereka boleh menukar pembelian mereka kepada bayaran bulan bebas faedah.

Kenyataan juga menyatakan bahawa semasa Pesta Pelancongan Brunei, pengecualian penuh yuran pemprosesan akan dilaksanakan.

ARTIKEL YANG SAMA