Tawaran menarik ‘Transact and Win’

Tawaran menarik ‘Transact and Win’

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Bersempena dengan penambahbaikan Perbankan Dalam Talian Baiduri, Bank Baiduri kini sedang mengadakan promosi ‘Transact and Win’ yang akan berakhir 30 April ini.

Menurut kenyataan Baiduri, promosi ini memberi ganjaran hadiah-hadiah menarik kepada pelanggan apabila mereka membuat transaksi menerusi perbankan dalam talian termasuk Personal i-Banking, Business i-Banking dan aplikasi Mobile Banking.

Hadiah-hadiah termasuk satu kamera aksi GoPro Hero4, satu Apple Watch Sport (42mm) dan hadiah utama berupa Apple iPhone 6S (16GB).

Untuk menyertai promosi ini, pelanggan hanya perlu membuat transaksi menerusi saluran perbankan dalam talian Baiduri sebelum 30 April.

Transaksi Personal i-Banking termasuk pemindahan telegrafi, pemindahan wang, pembayaran bil, tambah nilai MasterCard CashCard dan tambah nilai mudah alih, manakala itu, transaksi Business i-Banking pula termasuk pembayaran bil, pemindahan wang dan pembayaran gaji.

Di samping promosi ini, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar Coffee Bean & Tea Leaf bernilai $10 apabila memuat naik gambar menunjukkan bagaimana Perbankan Dalam Talian Baiduri memberi manfaat kepada mereka di Instagram, yang mana pertandingan ini juga akan berakhir 30 April 2016.

Mengulas mengenai promosi itu, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Operasi, Pempelbagaian dan Pembangunan Strategik dipetik sebagai berkata; “Promosi ‘Transact and Win’ diadakan untuk memperkenalkan ciri-ciri baru berkenaan kepada pelanggan kami.

“Sejak pelancaran platform perbankan dalam talian kami yang telah dipertingkatkan pada awal tahun ini, kami telah menyaksikan lebih 1,500 pendaftaran baru bagi Personal i-Banking dan Business i-Banking,” ujarnya sambil menambah, mereka juga melaksanakan kaji selidik pelanggan dengan para pelanggan yang menerima maklum balas yang menggalakkan.

Menjelaskan lanjut mengenai ciri-ciri dipertingkatkan Perbankan Dalam Talian Baiduri, beliau berkata, beberapa ciri baru termasuk membuat pembayaran masa sebenar bagi sewa beli dan melaksanakan pelbagai transaksi pada satu laman, direka untuk meningkatkan pengalaman perbankan dalam talian.

“Kami terus berusaha ke arah menyatukan perbankan dalam talian ke dalam gaya hidup pelanggan kami. Kami juga berusaha untuk memberikan lebih fleksibiliti bagi memenuhi keperluan perbankan perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan para pelanggan menyertai promosi berkenaan di mana mereka masih berpeluang memenangi hadiah menarik.

Promosi menjalankan transaksi ini dibukakan kepada pelanggan Personal dan Business i-Banking baru dan sedia ada.

ARTIKEL YANG SAMA