Tawaran pembekal khidmat bas awam dibuka

Tawaran pembekal khidmat bas awam dibuka

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat, kini memulakan inisiatif untuk mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam yang teratur, cekap, boleh dipercayai, berteraskan orang ramai (People-Centric), selamat dan juga berkekalan.

Projek tersebut disasarkan untuk dilaksanakan menjelang suku ke-3 tahun ini bagi teksi dan pada pertengahan 2017 akan dilaksanakan untuk bas, kata Kementerian Perhubungan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, keseluruhan projek membabitkan Kementerian Perhubungan untuk mengkaji dasar-dasar dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam serta mengenal pasti mana-mana kelemahan yang ada dalam sistem pengangkutan awam masa kini.

Dalam melaksanakan projek tersebut, pihak kementerian sedang merombak semula sistem yang ada serta memperkenalkan inisiatif-inisiatif signifikan yang mempamerkan mercu tanda penting dalam perlaksanaan pelan keseluruhan yang disediakan.

Untuk meningkatkan perhubungan dan akses bas awam, Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat telah mengubah suai laluan bas di seluruh negara ini daripada 29 laluan yang sedia ada kepada 42 laluan bas utama yang terdiri daripada 28 laluan bas utama untuk Daerah Brunei dan Muara, lima laluan di kawasan Kuala Belait-Seria, dua di Daerah Tutong, dua di Daerah Temburong dan lima laluan merentas daerah.

Selain itu, dalam meningkatkan hubungan dan akses, sebanyak 21 perkhidmatan ‘feeder bus’ bagi kawasan perumahan juga akan diperkenalkan.

Menurut kenyataan itu lagi, salah satu komponen utama bagi pendekatan intervensi kerajaan ialah untuk memastikan model-model yang terbaik, sesuai bagi sumber-sumber dan senario negara ini.

Semasa proses formulasi diadakan, beberapa model telahpun dikaji semula dan analisis yang berterusan juga dijalankan untuk mendapatkan kecekapan dan kemapanan sistem pengangkutan awam yang baru.

Bagi merealisasikan projek ini, satu Pernyataan Minat (Expression of Interests – EOI) akan dikeluarkan pada hari Sabtu ini, (25 Jun) dengan matlamat untuk mengenal pasti pembekal perkhidmatan bas awam profesional dan berwibawa boleh meningkatkan tahap perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan orang ramai dan meningkatkan bilangan pelanggan bas dan penumpang; mengoptimumkan kecekapan dan keberkesanan rangkaian laluan bas dengan mengambil kira pertimbangan sosial dan meningkatkan mobiliti orang ramai.

Selain itu juga, agar para pembekal dapat menyediakan perkhidmatan tanpa gangguan dengan mematuhi jadual atau mengekalkan masa perjalanan yang konsisten; menyediakan standard tinggi dan perkhidmatan yang selesa dengan memperkenalkan armada bas baru yang memenuhi keperluan rangkaian laluan; menggunakan Sistem Pengangkutan Pintar untuk menyediakan kawalan operasi yang lebih berkesan dan juga maklumat yang boleh dipercayai untuk pengguna dan pihak berkuasa dan menggunakan sistem tiket bas yang akan menyediakan pilihan tiket di luar bas dan memudahkan penyelesaian perjalanan biasa kepada orang ramai.

Menurut kenyataan itu lagi, EOI ini dibukakan kepada syarikat-syarikat tempatan, koperasi atau pertubuhan antarabangsa yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan pengangkutan awam untuk menyediakan perkhidmatan bas yang boleh dipercayai dan cekap bagi Negara Brunei Darussalam dan tarikh tutup EOI ini adalah 26 Julai 2016.

Sebelum ini dan sebagai langkah awal untuk meningkatkan imej pengangkutan awam di negara ini, Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Pengangkutan Darat baru-baru ini melancarkan inisiatif undian orang ramai pada 10 warna bahagian atas dan reka bentuk bas awam yang dikemukakan oleh orang ramai pada Mei 2016 yang kini sedang diundi oleh orang awam.

Pengundian akan dibuka selama dua minggu bermula hari Isnin, 20 Jun 2016 sehingga hari, Ahad 3 Julai 2016.

Inisiatif penjenamaan semula ini melambangkan satu langkah awal untuk mengubah bukan sahaja imej sistem pengangkutan awam malah untuk merangkumi inisiatif yang dicadangkan dalam memastikan kebolehpercayaan, sambungan dan kemapanan untuk semua di negara ini.