Taylor julang jelajah kejohanan golf Pebble Beach Pro-Am

Taylor julang jelajah kejohanan golf Pebble Beach Pro-Am

LOS ANGELES, 15 Feb – Pemain kurang ternama, Vaughn Taylor menjulang mahkota Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am selepas merakam tujuh bawah par 65 mengatasi pemenang lima major, Phil Mickelson dengan satu pukulan.

Kemenangan Taylor itu menamatkan kemarau kemenangan sejak 2005, manakala Mickelson kekal mencari gelaran Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) pertama sejak kali terakhir menjuarai Terbuka British 2012.

Mickelson membenam birdie pada lubang ke-17 dan berpeluang untuk mengheret aksi ke detik play-off dengan birdie lubang ke-18, tetapi kegagalannya menyempurnakan pukulan putt 1.52 meter membolehkan Taylor meraikan kemenangan dengan catatan keseluruhan 17 bawah par 270.

Mickelson pada satu ketikanya kelihatan cerah menamatkan kemarau kejuaraan selepas membawa kelebihan dua pukulan ke pusingan akhir saingan Pro-Am yang pernah dimenanginya sebanyak empat kali.

Tetapi catatan par pada lapangan par-72 itu termasuk empat bogey dan dua birdie tidak mencukupi untuk menyelesaikan tugasannya dan dia sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan 271.

Pemain Sweden, Jonas Blixt yang pada awalnya memberi cabaran dengan merekodkan eagle pada lubang ke-6 menamatkan permainan dengan 69 pukulan untuk 272.

“Saya sudah menunggu saat ini begitu lama,” kata Taylor, yang tidak mampu mengawal emosinya. “Saya tidak fikir ia akan berlaku. Saya bekerja keras dan hanya terus bermain seperti biasa. Saya sukar untuk mempercayainya.” – AFP