Tazkirah Syawal serikan Majlis membaca Ratib Al-Attas

Tazkirah Syawal serikan Majlis membaca Ratib Al-Attas

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 21 Julai – Dalam menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun dengan majlis-majlis keagamaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menganjurkan Majlis Membaca Ratib Al-Attas yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Liang, di sini, hari ini.

Majlis yang telah dihadiri oleh para Muslimah yang mengikuti Kelas Bimbingan Muslimah masjid-masjid Daerah Belait itu antara lain bertujuan menggalakkan para Muslimah untuk sentiasa mengingati Allah S.W.T. dalam semua keadaan.

Dalam pada itu, majlis seumpamanya juga diadakan bagi menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan zikir sebagai amalan dan budaya dalam kehidupan seharian.

Dayang Noraini Yanti semasa menyampaikan Tazkirah Syawal.
Dayang Noraini Yanti semasa menyampaikan Tazkirah Syawal.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan Tazkirah Syawal bertajuk ‘Bacaan dan Amalan Harian’ yang telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, yang juga selaku tetamu kehormat majlis berkenaan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas yang telah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Sungai Liang, Awang Norafinddy bin Norsabah dan diakhiri dengan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di antara Muslimah masjid-masjid Daerah Belait bagi mengeratkan lagi silaturahim serta membukakan peluang untuk bermaaf-maafan sesama mereka bersempena bulan Syawal yang mulia ini.

ARTIKEL YANG SAMA