TCY perkenal keluaran terbaru Peugeot 3008

TCY perkenal keluaran terbaru Peugeot 3008

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – TCY Motor Sdn Bhd, selaku pengedar kenderaan jenama Peugeot di Brunei, hari ini, telah memperkenalkan semula Peugeot 3008 yang telah memenangi anugerah ‘Kereta Terbaik Tahunan 2010’.

Pengamal media tempatan telah diberi peluang untuk melihat lebih dekat ciri-cirinya yang mendapat pengiktirafan pada acara yang diadakan di CoffeeBean & Tea Leaf, Gadong.

Model 3008 merupakan gabungan SUV, Hatchback dan MPV sekali gus menggabungkan keseronokan pemanduan dan kredibiliti ciri-ciri pemandu dengan teknologi tinggi untuk keselesaan semasa memandu.

Dengan keluaran 3008 terbaru di negara ini, Peugeot telah menaik taraf reka bentuknya yang mengikut simbol Singa Perancis.

Bahagian depannya menampilkan gril baru yang lebih besar dan lampu kabus yang disalut dengan warna Chrome. Kereta ini juga mempunyai lampu Bi-Xenon Directional yang memberi cahaya terang pada waktu malam dan memancarkan cahaya ke kiri dan ke kanan mengikut tujuan pemandunya.

Model Peugeot 3008 yang lebih luas dan bergaya serta mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sangat baik.
Model Peugeot 3008 yang lebih luas dan bergaya serta mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sangat baik.

Di bahagian dalam pula terdapat ciri-ciri menarik diinspirasikan daripada jet penggempur iaitu odo-meter berkonsepkan kaca berdigital yang memberikan penglihatan lebih jelas kepada pemandu dan mempamerkan maklumat berbeza daripada kelajuan sehingga jarak amaran.

Tambahan lagi, kereta ini mempunyai kelebihan teknologi penghubung Bluetooth untuk telefon pintar dan pemain muzik.

Walaupun 3008 dimuatkan dengan enjin 1.6 liter, ia dilengkapi dengan Turbo yang memberikan kuasa sehingga 156 bhp (240 Nm kepada 1,400 rpm) walaupun pada kelajuan yang rendah.

Ciri-ciri keselamatannya pula termasuk enam beg udara keselamatan, sistem Anti-Lock Brake (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Electronic Stability Program (ESP), Sistem Brake kecemasan (EBA), Dynamic Rolling Control dan lain-lain lagi.

ARTIKEL YANG SAMA