TDDB bawa pulang pingat

TDDB bawa pulang pingat

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh ABDB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Kejohanan Menembak Tentera Darat ASEAN (AARM) ke-25 telah berakhir semalam (25 November 2015) dengan kontinjen Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mengutip sebanyak dua pingat perak dan dua pingat gangsa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, upacara penutupan rasmi kejohanan berkenaan telah diadakan di Padang Tembak Taktikal Tentera, Kem Thanarat, Hua Hin, Thailand yang dihadiri oleh pemerintah atau ketua tentera darat dari 10 buah negara anggota ASEAN.

Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Upacara telah dimulakan dengan perlawanan akhir bagi Rifle Match 5, dan seterusnya sesi bergambar ramai kesemua ketua tentera darat ASEAN, sebelum dijemput untuk mengikuti acara Novelty Shoot bagi perlawanan menembak Pistol Falling Plate dan Carbine Falling Vase.

Bagi memperingati acara yang berprestij ini, kesemua ketua tentera darat kemudiannya dijemput untuk menanam pokok dan upacara dimeriahkan lagi dengan persembahan aksi ketenteraan oleh anggota Tentera Darat Diraja Thailand dan seterusnya menyaksikan perbarisan lalu kesemua kontinjen dari negara anggota ASEAN yang menyertai kejohanan tersebut.

Ketua Tentera Darat Diraja Thailand menyerahkan pingat gangsa kepada kontinjen Tentera Darat Diraja Brunei.
Ketua Tentera Darat Diraja Thailand menyerahkan pingat gangsa kepada kontinjen Tentera Darat Diraja Brunei.
Ketua-ketua tentera yang mengikuti kejohanan tersebut ketika bergambar ramai.
Ketua-ketua tentera yang mengikuti kejohanan tersebut ketika bergambar ramai.

Upacara diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang oleh Ketua Tentera Darat Diraja Thailand sebelum diikuti dengan sesi penurunan bendera rasmi Kejohanan AARM dan seterusnya penyerahan bendera tersebut kepada Republik Filipina, selaku tuan rumah AARM bagi tahun 2016.

Kejohanan AARM dihasratkan untuk memberi peluang kepada para penembak tentera darat ASEAN untuk mempamerkan kemahiran, kemampuan dan keupayaan masing-masing.

Ia juga merupakan pertemuan bagi para penembak meraih kemenangan dalam suasana perlawanan yang sihat, selain sebagai salah satu landasan bagi setiap kontinjen mengukuhkan tali persahabatan dan persefahaman yang sudah sedia terjalin.

Selain menjadi tuan rumah bagi Kejohanan AARM, Tentera Darat Diraja Thailand turut menghoskan Mesyuarat Pelbagai Hala Ketua-ketua Tentera ASEAN (ACAMM) ke-16 yang dihadiri oleh ketua-ketua tentera darat dari 10 buah negara ASEAN pada 22 – 23 November 2015, di Siam Kempinski Hotel, Bangkok.

Tema bagi mesyuarat pada tahun ini ialah ‘The Readiness of ASEAN Armies in Response to Challenges in The Next 5 Years’.

Ia bertujuan untuk menyatukan kesemua ketua tentera darat ASEAN bagi sama-sama membincangkan mengenai isu-isu serantau dan untuk mengeratkan lagi hubungan ketenteraan antara satu dengan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA