TDDB dahului rentas desa ABDB

TDDB dahului rentas desa ABDB

pg24_160325_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) muncul juara dalam Kategori Kumpulan Kejohanan Rentas Desa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) setelah berjaya menewaskan dua kumpulan lainnya yang berada ditempat kedua dan ketiga iaitu Rejimen Pasukan Khas dan Kementerian Pertahanan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan tersebut ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah. Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah unit, Komandan IL ABDB, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan anggota-anggota ABDB.

Seramai 200 peserta terdiri daripada anggota-anggota TDDB,Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Kementerian Pertahanan dan Rejimen Pasukan Khas telah mengikuti kejohanan yang diadakan di Berakas Garison.

Kejohanan Rentas Desa ini mempertandingkan acara berkumpulan dan juga acara terbuka mengikut kategori umur, di mana peserta dikehendaki berlari sejauh lebih kurang 10 km. Setiap peserta juga diuji dengan ketahanan fizikal seperti mengharungi kawasan pantai, jalan raya dan juga bukit-bukau. Kejohanan tersebut bermula dan berakhir di Stadium Mini Berakas Garison.