TDDB juara Sepak Takraw ABDB

TDDB juara Sepak Takraw ABDB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah mengadakan Perlawanan Akhir Kejohanan Sepak Takraw Peringkat ABDB bagi Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Gerak Badan Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Antara objektif kejohanan berkenaan adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan mengukuhkan persahabatan dalam kalangan pemain sepak takraw, ia juga bertujuan untuk memilih pemain yang sangat berpotensi dalam ABDB untuk mewakili Majlis Sukan ABDB dan Kementerian Pertahanan di Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan dan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam yang akan datang.

Pada perlawanan akhir bagi Kategori Acara Antara Regu, Pasukan Institut Latihan (IL) ABDB telah ditundukkan oleh Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dengan 21-15 pada perlawanan pertama dan 21-18 pada perlawanan kedua, sekali gus perlawanan ditamatkan dengan kesudahan 2-0.

Aksi perlawanan akhir Kategori Acara Antara Regu Pasukan TDDB menentang Pasukan IL ABDB.
Aksi perlawanan akhir Kategori Acara Antara Regu Pasukan TDDB menentang Pasukan IL ABDB.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan piala juara keseluruhan kepada wakil Pasukan TDDB.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih menyerahkan piala juara keseluruhan kepada wakil Pasukan TDDB.
Juara keseluruhan disandang oleh Pasukan TDDB.
Juara keseluruhan disandang oleh Pasukan TDDB.

Sebanyak tiga kategori telah dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan iaitu Kategori Acara Khas, Kategori Acara Berpasukan dan Kategori Acara Antara Regu.

Bagi Kategori Acara Khas, johan telah dimenangi oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Pasukan IL ABDB sebagai naib johan dan tempat ketiga disandang oleh Pasukan TDDB.

Bagi Kategori Acara Berpasukan, tempat ketiga disandang oleh Pasukan TUDB, naib johan disandang oleh Pasukan IL ABDB manakala johan telah disandang oleh Pasukan TDDB.

Johan bagi Kategori Antara Regu pula disandang oleh Pasukan TDDB manakala naib johan telah disandang oleh Pasukan IL ABDB dan Pasukan TUDB berada di tempat ketiga.

Piala juara keseluruhan pula telah disandang oleh Pasukan TDDB. Kejohanan tersebut telah mula diadakan pada 15 Disember lalu yang disertai oleh lima pasukan iaitu Pasukan TDDB, Pasukan TLDB, Pasukan TUDB, Pasukan IL ABDB dan Pasukan Kementerian Pertahanan.

ARTIKEL YANG SAMA