TDDB juarai hoki ABDB

TDDB juarai hoki ABDB

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Jaringan Kapten Mohd Aji bin Haji Abdul Rahman daripada Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) meranapkan harapan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi Tahun 2016, hari ini.

Kemenangan 1-0 yang berlangsung di Stadium Hoki Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu sudah memadai bagi TDDB untuk menjulang trofi kejohanan tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan trofi kepada para pemenang ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

TDDB pada peringkat awal mengalahkan Pasukan Kementerian Pertahanan dengan jaringan 7-0 sebelum mengalahkan Institusi Latihan (IL) ABDB dengan jaringan 3-0 dan di peringkat separuh akhir pula TDDB meneruskan rekod tanpa bolosnya dengan mengalahkan Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dengan jaringan 2-0.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih bergambar ramai bersama Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei yang menjuarai Kejohanan tersebut. - Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih bergambar ramai bersama Pasukan Tentera Darat Diraja Brunei yang menjuarai Kejohanan tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

Sementara itu Pasukan TUDB pula pada perlawanan pertama mengalahkan TDDB dengan jaringan 4-1 sebelum menewaskan IL ABDB dengan jaringan 2-0 dan pada perlawanan separuh akhir TUDB menang ke atas TLDB dengan jaringan 3-1.

Kejohanan yang diadakan selama tiga hari bermula 18 Januari itu bertujuan untuk mencari juara Kejohanan Hoki ABDB tahun ini dan seterusnya merebut Piala Pusingan Kejohanan.

Selain daripada itu kejohanan juga menjadi platform pemilihan pemain-pemain yang berbakat untuk mewakili ABDB di kejohanan hoki peringkat kementerian mahupun kebangsaan.

Kejohanan kali ini disertai pasukan TLDB, TUDB, TDDB, IL ABDB dan Kementerian Pertahanan.