TDDB rai ulang tahun ke-54

TDDB rai ulang tahun ke-54

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) menyambut hari ulang tahunnya yang ke-54, hari ini, dengan mengadakan Perbarisan Perutusan Pemerintah TDDB di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB di Perkhemahan Berakas Garison.

Atur cara perbarisan yang disertai seramai 2,054 orang anggota dari pelbagai unit TDDB dimulakan dengan penerimaan tabik hormat oleh Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, selaku tetamu kehormat.

Beliau seterusnya memeriksa perbarisan anggota TDDB yang diketuai oleh Mejar Pengiran Mohammad Shamsul Reza bin Pengiran Dato Paduka Haji Tengah, selaku Ketua Perbarisan.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Pemerintah TDDB menyampaikan ucapan perutusan yang telah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan melafazkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

TDDB dalam kenyataannya hari ini menyatakan, selaras dengan evolusi rancangan pembangunannya, TDDB kini telah menjadi sebuah organisasi yang berketerampilan tinggi.

Pemerintah TDDB ketika menyampaikan lencana unit kepada salah seorang anggota TDDB dalam acara berkenaan.
Pemerintah TDDB ketika menyampaikan lencana unit kepada salah seorang anggota TDDB dalam acara berkenaan.
Atur cara perbarisan yang disertai seramai 2,054 orang anggota pelbagai unit TDDB.
Atur cara perbarisan yang disertai seramai 2,054 orang anggota pelbagai unit TDDB.

Sesuai dengan pencapaian usia matang ke-54 tahun, TDDB berhasil melaksanakan perancangan yang seiring dengan pelan strategiknya dan segala usaha dilaksanakan dengan tegas dan sentiasa menjurus ke arah visi dan misi, serta relevan dengan hasrat Kertas Putih Pertahanan 2011.

Pemerintah TDDB juga menyatakan bahawa TDDB telah menyaksikan peningkatan struktur organisasi yang merangkumi perkembangan unit-unit TDDB seperti penyerapan Skuadron Semboyan dan Kenderaan Pasukan, ketetapan penubuhan Kompeni E, Batalion Pertama TDDB di Perkhemahan Bangar, Temburong sebagai perintis Batalion ke-4 nanti.

Dalam pada itu, TDDB juga menyaksikan penetapan Kompeni D di setiap Batalion Infantri sebagai Kompeni Istiadat yang mana tiba masanya nanti kompeni-kompeni tersebut akan digabungkan menjadi sebuah Batalion Istiadat khusus dalam menjalankan tugas-tugas istiadat.

Menurut beliau, antara usaha lain bagi meningkatkan keupayaan TDDB ialah dengan meningkatkan semangat berpasukan agar setiap individu sentiasa bangga dengan unit masing-masing, dan secara langsung akan meningkatkan lagi rasa tanggungjawab dalam menyumbangkan usaha untuk menjaga nama dan imej unit agar tidak tercemar.

Bagi mencapai matlamat itu, TDDB telah membuat satu pembaharuan keseragaman pakaian yang merangkumi pemakaian lambang-lambang unit bagi menaikkan rasa kemegahan terhadap unit masing-masing dan lencana-lencana kepakaran setiap individu.

Selain itu, kenderaan-kenderaan tentera akan mula dipasang dengan lambang-lambang pengenalan khusus unit masing-masing serta pembaharuan terhadap Bendera TDDB dan unit-unitnya yang berkuat kuasa mulai hari ini (4 November 2015).

Menurut Pemerintah TDDB lagi, Markas TDDB juga telah mengorak langkah dengan menerbitkan sebanyak 15 jenis dokumen PROTAP (Prosedur Tetap) sebagai panduan serta dasar pentadbiran, latihan, operasi, pemeliharaan dan logistik.

Markas TDDB juga sedang dalam usaha menerbitkan buku “Mencorak Tentera Darat ke arah Visi 2035” yang akan bertindak sebagai pelan induk TDDB bagi perancangan yang akan datang mengikut fasa iaitu Fasa Satu bermula tahun 2015, Fasa Dua – Tahun 2025 dan Fasa Tiga – Tahun 2035.

Untuk mendokong dokumen itu, sebanyak dua buah dokumen sokongan akan diterbitkan, iaitu ‘Pelan Strategik Tentera Darat Diraja Brunei dan Konsep Operasi Darat – Tentera Darat Diraja Brunei’ (Royal Brunei Land Force – Land Operating Concept), yang akan menjadi buku panduan utama, terhadap perkembangan Tentera Darat ke arah 2035.

Di akhir perutusan, beliau mengucapkan terima kasih dan selamat menyambut Hari Ulang Tahun TDDB ke-54 kepada seluruh warga TDDB dan juga kepada anggota TDDB yang telah bersara.

Acara diteruskan dengan penyampaian lencana unit dan lambang kenderaan yang disempurnakan oleh Pemerintah TDDB kepada unit TDDB masing-masing, diikuti dengan ikrar TDDB yang diketuai oleh Ketua Perbarisan.

Bagi mengakhiri perbarisan tersebut, doa selamat telah dibacakan oleh Pegawai Agama, Jabatan Agama ABDB, Leftenan Narulismandy bin Haji Samaih dan seterusnya sesi bergambar ramai.

Pelbagai aktiviti lain juga telah pun dilaksanakan dan disusun sebelum sambutan Hari Ulang Tahun TDDB pada pagi ini diadakan, antaranya Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja pada 28 Oktober 2015 dan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Berakas pada 3 November 2015.

ARTIKEL YANG SAMA