Tebang pokok berisiko tumbang

Tebang pokok berisiko tumbang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Dalam usaha berterusan memastikan keselamatan para penduduknya sentiasa terjamin dan jauh daripada kejadian tidak diingini akibat pokok tumbang, Majlis Perundingan Kampung Sungai Akar telah menganjurkan aktiviti menebang pokok yang berisiko tinggi tumbang di kawasan perumahan kampung berkenaan.

Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Haji Mohd Zain telah mengepalai aktiviti berkebajikan yang kali ini dijalankan di sebuah kawasan di Simpang 396-119 kampung berkenaan.

Menurut Haji Ramlee, beliau tidak akan mengambil risiko membiarkan anak buah kampungnya dalam keadaan khuatir dan cemas akan berlakunya kejadian tidak diingini terhadap keselamatan nyawa dan harta benda mereka akibat pokok tumbang terutama sekali sewaktu cuaca berangin kencang.

Oleh sebab itulah pihak MPK kampung berkenaan bertindak segera terhadap aduan atau laporan yang diterima daripada penduduk kampung berkaitan kegusaran mereka mengenai risiko pokok tumbang di kawasan sekeliling berdekatan rumah kediaman masing-masing, jelasnya.

Pihak MPK juga akan terus meninjau, memantau dan mengenal pasti kawasan-kawasan kediaman penduduk yang berisiko tinggi berlakunya pokok tumbang untuk diambil tindakan sewajarnya sesegera mungkin, ujarnya lanjut.

Ketua Kampung Sungai Akar (3 dari kanan) bersama kalangan anak buah kampung yang terlibat dalam aktiviti berkebajikan itu.
Ketua Kampung Sungai Akar (3 dari kanan) bersama kalangan anak buah kampung yang terlibat dalam aktiviti berkebajikan itu.

ARTIKEL YANG SAMA