Tebuan Muda belasah Kilanas

Tebuan Muda belasah Kilanas

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Mohd Nur Syazwan bin Halidi terus mempertingkat kredibilitinya sebagai penyerang berbisa ketika membantu Tebuan Muda menang 5-2 ke atas pasukan tercorot Liga Super DST 2015, Kilanas FC kelmarin dengan catatan hatriknya.

Masih segar dengan dua jaringan minggu lalu dalam kemenangan 2-1 Tebuan Muda ke atas Jerudong FC, Mohd Nur Syazwan tidak menghadapi masalah untuk menembusi pertahanan pasukan yang masih belum mengutip sebarang mata selepas mengharungi 11 perlawanan itu.

Pada saingan di Kompleks Sukan Berakas itu, Mohd Nur Syazwan membuka akaun jaringannya seawal minit ke-4 untuk membawa Tebuan Muda di depan, 1-0.

Ketika Kilanas berjaya mengikat kedudukan, 1-1 pada minit ke-23 hasil jaringan Mohd Nor Hidayatullah bin Haji Zaini, Mohd Nur Syazwan mengembalikan semula kelebihan satu jaringan Tebuan Muda dengan jaringan keduanya hanya dua minit kemudian.

Masuk ke separuh masa kedua dengan kedudukan jaringan 2-1, Tabuan Muda tidak menunggu lama untuk menambah jaringannya kepada tiga menerusi rembatan Mohd Asnawi Syazni bin Abdul Aziz pada minit ke-53 iaitu hanya lapan minit selepas rehat.

Mohd Nur Syazwan berjaya mengelecek penjaga gol Kilanas FC sebelum mudah menendang bola masuk ke gawang untuk catatan hatriknya dan gol kelima Tebuan Muda.
Mohd Nur Syazwan berjaya mengelecek penjaga gol Kilanas FC sebelum mudah menendang bola masuk ke gawang untuk catatan hatriknya dan gol kelima Tebuan Muda.

Kedudukan Tebuan Muda bertambah selesa pada minit ke-75 dengan jaringan 4-1 apabila giliran Muhd Haziq Saufee @ Sukri bin Haji Asli pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring.

Mohd Nur Syazwan bertindak bijak pada minit ke-89 dengan berlari turun ke bawah masuk ke kawasan pasukannya, meminta bola dari pemain pertahanan namun segera menghantar bola kepada rakannya di kawasan tengah sedang dia berlari ke depan, tepat semasa rakannya melakukan hantaran ke depan untuknya berjaya mengelak dirinya dari perangkap ofsaid.

Melihat Mohd Nur Syazwan berlari berseorangan menuju petaknya, penjaga gol Kilanas pun meluru keluar cuba untuk menghalangnya di sempadan petaknya tetapi gerakan sekilas ke kanan dan kemudian ke kiri Mohd Nur Syazwan mematikan langkahnya yang membolehkan Mohd Nur Syazwan berlari melepasinya dan mudah menendang bola masuk ke gawang terbuka luas.

Ketinggalan 5-1 tetap tidak mematahkan semangat Kilanas yang kelihatan terus melakukan serangan. Usaha itu membuahkan hasil pada masa kecederaan apabila pemainnya dijatuhkan dalam petak menyebabkan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Muhd Syafiq bin Haji Muhd Hisham.

Tebuan Muda kini mengumpul 20 mata dari 11 permainan, kekal di tangga keempat untuk menjarakkan dirinya daripada Wijaya FC di tangga kelima yang mengumpul 17 mata dari 10 permainan. Nasib malang Kilanas pula berterusan dengan catatan 11 kekalahan daripada 11 perlawanannya setakat ini untuk terus menghuni tangga paling bawah tanpa kutipan mata.

ARTIKEL YANG SAMA