Tebuan Muda pamer peningkatan

Tebuan Muda pamer peningkatan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Ketua Jurulatih Bola Sepak B-14 Kebangsaan menarik nafas lega apabila menyaksikan permainan pasukan cilik Tebuan Muda menampakkan peningkatan walaupun tewas menentang Pasukan Myanmar di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, hari ini.

Ketika ditemui selepas permainan hari ini, beliau menyatakan rasa lega melihat semangat juang anak muda negara terutama selepas sedikit gemuruh menentang Filipina semalam.

Semalam Fujiwara menegaskan beliau akan membuat rombakan skuad dengan memberikan penekanan kepada jentera serangan dan pertahanan dan ternyata usahanya berbaloi apabila menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Tebuan Muda tewas kepada Myanmar yang mula menggegarkan gawang Brunei pada minit ke-21 melalui usaha Saw Win Aung sebelum Mohd Aisan Aizuddin Abdullah Md Aiman berjaya menyamakan kedudukan.

Mohammad Hadif Aiman merembat bola ke gawang Myanmar. – Gambar Hasrulraizan
Mohammad Hadif Aiman merembat bola ke gawang Myanmar. – Gambar Hasrulraizan

Kedudukan itu hanya buat seketika apabila Khun Kyaw Zin Hein membuat jaringan pada minit ke-27 disusuli jaringan Wai Yan Soe pada minit ke-38 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Semangat juang pemain Tebuan Muda perlu diberikan pujian kerana pada minit ke-40 Mohammad Syukri Sakhawi Mohammad Azman berjaya merapatkan jurang kepada 3-2 ketika permainan berbaki 20 minit.

Pada 20 minit terakhir, barisan pemain muda negara mula garang dengan serangan bertali arus namun kesilapan hampir menghadiahkan lawan jaringan tambahan sehinggalah ke wisel penamat. Dalam perlawanan lain di Pusat Sukan Berakas, Vietnam menewaskan Thailand 4-1, Malaysia menundukkan Leste 2-1 dan Singapura menang 1-0 ke atas Laos.