Tebuan Muda sengat Jerudong

Tebuan Muda sengat Jerudong

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Tebuan Muda menokok satu langkah untuk berada di tangga keempat Liga Super DST 2015 selepas mengharungi perlawanan ke-10 kelmarin dengan kemenangan 2-1 ke atas Jerudong FC.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan masing-masing 14 mata selepas sembilan perlawanan pusingan pertama liga, namun dua gol Mohd Nur Syazwan bin Halidi untuk Tebuan Muda ternyata menjadi perbezaan antara kedua-dua pasukan memasuki pusingan kedua liga.

Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Mohd Nur Syazwan dari Tebuan Muda membuka jaringan pada minit ke-10.

Separuh masa kedua menyaksikan Jerudong lebih menguasai bahagian tengah padang dan beberapa kali mencemaskan penjaga gol Tebuan Muda termasuk dua percubaan penyerang prolifik Jerudong, Hardi Bujang pada minit ke-55.

Kedua-dua percubaannya dari tempat yang sama itu melepasi jangkauan penjaga gol Tebuan Muda dan gagal menemui sasaran.

Mohd Nur Syazwan meraikan gol kedua peribadi dan pasukan dalam kemenangan 2-1 Tabuan Muda ke atas Jerudong kelmarin.
Mohd Nur Syazwan meraikan gol kedua peribadi dan pasukan dalam kemenangan 2-1 Tabuan Muda ke atas Jerudong kelmarin.

Kegagalan memanfaatkan kedua-dua peluang keemasan itu ternyata mengundang padah apabila Mohd Nur Syazwan berjaya mengawal bola lambung rakannya di sayap kiri walau mendapat tekanan daripada pertahanan Jerudong di bahu kanannya, sebelum membawa bola ke tengah, hanya jarak selangkah dari kotak Jerudong.

Apabila pertahanan kedua Jerudong meluru, dia menggayakan badannya seolah-olah mematah ke kiri membawa masuk bola ke dalam kotak, yang memperdaya kedua-dua pertahanan, depan dan belakangnya sehingga menyebabkan mereka masuk ke dalam kawasan mereka.

Dengan itu, ruang terbuka untuknya kembali semula segaris dengan bola dan kemudian merembat ke sudut kiri sebelah bawah gawang lawan untuk gol kedua peribadi dan pasukannya pada minit ke-59.

Walaupun Jerudong akhirnya berjaya membolosi gawang Tebuan Muda pada minit ke-64 yang dijaringkan oleh Mohammad Bazli bin Mohammad Said, ternyata pertahanan Tebuan Muda gagal dibolosi lagi selepas itu untuk Tebuan Muda mengutip tiga mata penuh.

Tambahan tiga mata itu membolehkannya menyamakan kutipan matanya dengan Wijaya FC tetapi perbezaan jaringan membolehkannya menduduki tempat keempat.

Jerudong pula kekal di tangga keenam.

ARTIKEL YANG SAMA