Tebuan resahkan penduduk

Tebuan resahkan penduduk

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 2 Sept – Beberapa penghuni di RPN Kampung Lumut, di sini melahirkan rasa bimbang terhadap bahaya sarang tebuan, yang semakin membesar melekat di bahagian bumbung salah sebuah rumah di simpang kawasan perumahan itu.

Beberapa orang penduduk di kawasan berkenaan memberitahu, amat sukar bagi mereka melakukan aktiviti luar rumah sejak kemunculan sarang tebuan, kerana tebuan-tebuan itu berterbangan, malah pernah menyengat beberapa orang yang berdekatan kawasan itu sebelum ini.

Penghuni rumah itu juga telah pernah disengat tebuan dan menurut seorang jiran, perkara itu sudah diadukan kepada pihak berkenaan, tetapi sebaliknya menyerahkan kembali kepada penghuni rumah untuk mencari kontraktor berbayar menghapuskannya.

Seorang lagi jiran terdekat, yang enggan namanya disiarkan pula memberitahu, sarang tebuan itu sudah berada di bumbung rumah hampir dua tahun, dan sudah ada mangsa sengatan tebuan itu.

Sarang tebuan yang semakin membesar melekat di bahagian bumbung tepi sebuah rumah di kawasan RPN Kampung Lumut, membimbangkan penduduk sekitarnya.
Sarang tebuan yang semakin membesar melekat di bahagian bumbung tepi sebuah rumah di kawasan RPN Kampung Lumut, membimbangkan penduduk sekitarnya.

Katanya, pemilik rumah sudah membuat aduan bulan lepas, tetapi setelah diserahkan untuk mencari kontraktor menghapuskannya, dia terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mampu untuk membayar upahnya.

“Kami sendiri tidak berani melakukan kerja memotong rumput di kawasan berdekatan. Bukan itu saja, untuk memanaskan enjin kereta pun kami takut, kerana tebuan akan datang,” kata seorang jiran.

Rumah yang terbabit tempat tebuan membuat sarang itu terletak di Simpang 286-30-35-9 RPN Kampung Lumut, dan pemilik rumah juga mendakwa, mereka anak-beranak juga sudah terkena sengat tebuan itu.

Sehubungan itu, pemilik rumah dan juga jiran-jiran terdekatnya, berharap perkara ini dapat dibantu oleh pihak berkenaan yang boleh menghapuskan sarang tebuan itu, demi keselamatan penduduk di sana terutama dalam kalangan kanak-kanak.