Tebusan Indonesia dibebaskan, dipulangkan

Tebusan Indonesia dibebaskan, dipulangkan

JAKARTA, 2 Mei (AFP) – Sepuluh kelasi Indonesia yang dijadikan tebusan oleh militan Islam Abu Sayyaf pulang semalam selepas dibebaskan di selatan Filipina, kurang satu minggu selepas lelaki bersenjata memancung kepala seorang tahanan Kanada.

Kira-kira lima minggu selepas diculik, 10 krew kapal tunda muncul di luar rumah gabernor wilayah di pulau terpencil Filipina Jolo. Mereka terbang pulang ke Jakarta pada hari yang sama, tiba dengan kapal terbang persendirian di sebuah pangkalan tentera udara sebelum dibawa pergi dalam bas mini tanpa bercakap dengan wartawan.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata mereka akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum dihantar pulang.

“Doa kami telahpun dimakbulkan,” beritahu Rahmat Mansyur, abang kepada tebusan yang dibebaskan Wawan Saputra, kepada AFP di wilayah Indonesia Sulawesi Selatan. “Beberapa hari lalu apabila penculik memenggal kepala seorang tebusan, kami berasa amat bimbang, tetapi sekarang kami dengar beliau adalah selamat dan kami rasa amat bertuah.”

Anak kapal dari kapal tunda Indonesia yang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Filipina disambut oleh pegawai-pegawai apabila pesawat mereka mendarat di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Indonesia, Ahad lalu. – AP
Anak kapal dari kapal tunda Indonesia yang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Filipina disambut oleh pegawai-pegawai apabila pesawat mereka mendarat di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Indonesia, Ahad lalu. – AP

Pegawai tidak berkata sama ada wang tebusan dibayar untuk 10 warga Indonesia itu. Abu Sayyaf biasanya tidak membebaskan tebusan melainkan wang tebusan dibayar. Terdapat pertambahan dalam penculikan di selatan Filipina, dan pembebasan warga Indonesia berlaku enam hari selepas Abu Sayyaf memenggal kepala pelancong Kanada John Ridsdel, di mana mereka telah menuntut wang tebusan berjumlah AS$21 juta.

Pihak berkuasa berkata kumpulan itu masih menahan sekurang-kurangnya 11 tebusan asing – empat kelasi dari Indonesia dan empat orang lain dari Malaysia, seorang pelancong Kanada, seorang pemilik tempat peranginan Norway dan seorang pengkaji burung.

Gabernor wilayah Abdusakur Tan Jnr di Jolo mengalu-alu “berita baik” penemuan lelaki berkenaan selepas mereka dibawa ke rumahnya oleh lelaki yang tidak dikenalpasti ketika hujan lebat pada tengah hari.

Setelah mendapat tahu identiti mereka, pengawal ahli politik itu membenarkan mereka masuk dan mereka diberi makan sebelum diserah kepada polis. Presiden Filipina Benigno Aquino berikrar pada Rabu akan meneutralkan militan selepas kepala pesara Kanada ditinggalkan di luar sebuah bangunan kerajaan di Jolo.

ARTIKEL YANG SAMA