Tebusan Perancis di Yaman dibebaskan

Tebusan Perancis di Yaman dibebaskan

MUSCAT, 7 Ogos (AFP) – Tebusan wanita Perancis Isabelle Prime, yang dibebaskan di Yaman selepas hampir enam bulan dalam tawanan, tiba di negara jiran Oman hari ini dalam perjalanannya pulang ke tanah air, menurut agensi berita rasmi ONA.

Jabatan presiden Perancis mengumumkan lewat semalam bahawa Prime, 30 tahun, yang bekerja sebagai perunding projek di Yaman yang dibiayai oleh Bank Dunia telah dibebaskan oleh penculik-penculiknya.

Kementerian luar Oman berkata usaha oleh negara Teluk ‘dalam kerjasama dengan beberapa pihak di Yaman’ telah membantu menjejakinya. “Usaha mencari Prime dijalankan atas arahan Sultan Qaboos atas permintaan pihak berkuasa Perancis,” seorang jurucakap kementerian itu dipetik sebagai berkata oleh ONA.

Dalam kenyataan yang mengumumkan pembebasannya, Jabatan presiden Perancis berterima kasih kepada Oman kerana membantu memastikan pembebasan Prime.

Perancis telah melakukan “setiap usaha untuk mencapai hasil menggembirakan ini,” menurut kenyataan itu, dengan menambah kata jabatan presiden melahirkan penghargaannya kepada semua yang telah berusaha bagi penyelesaian ini, termasuklah Sultan Qaboos bin Said, sultan Oman.”

Dua wanita Yaman memegang poster Isabelle Prime (kanan) dan penterjemahnya Sherine Makkaoui yang telah dibebaskan. – AFP
Dua wanita Yaman memegang poster Isabelle Prime (kanan) dan penterjemahnya Sherine Makkaoui yang telah dibebaskan. – AFP

Prime tiba di Yaman pada tahun 2013.

Dia telah diculik di bandar Sanaa pada Februari bersama penterjemahnya Sherine Makkaoui, warga Yaman ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja. Makkaoui telah dibebaskan pada bulan Mac.

Pada bulan Jun, Prime yang menurut jabatan presiden Perancis akan pulang ke tanah air “dalam tempoh beberapa jam akan datang’ muncul dalam video 21 saat yang dihantar ke YouTube oleh para penculiknya.

Oman kerap berperanan dalam usaha oleh negara-negara Barat untuk mendapatkan pembebasan warganegara yang diculik di rantau itu.

Pada bulan November 2011, tiga tebusan warga Perancis diculik oleh militan Al-Qaeda di Yaman telah dibebaskan di Oman selepas lebih lima bulan dalam tawanan.

Pada ketika itu sumber suku kaum di wilayah Semenanjung Arab berkata mereka dibebaskan dalam pertukaran bagi wang tebusan, satu dakwaan yang dinafikan oleh Perancis.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota pertubuhan NGO Perancis, Triangle Generation Humanitaire.