Tebusan wanita Filipina bebas

Tebusan wanita Filipina bebas

MANILA, 24 Jun (AFP) – Seorang warga Filipina yang dijadikan tebusan oleh kumpulan jenayah yang terkenal yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan, di selatan Filipina yang dicengkam pertikaian telah dibebaskan hari ini, menurut polis, seminggu selepas teman lelakinya warga Kanada telah dipancung kepala oleh lelaki-lelaki bersenjata.

Marites Flor adalah antara empat orang yang diculik sembilan bulan lalu oleh militan Islam Abu Sayyaf yang berpangkalan di kepulauan pergunungan terpencil, yang telah meraih berjuta-juta dolar daripada penculikan beberapa tahun kebelakangan.

Rakan Flor, Robert Hall, telah dipancung kepalanya selepas had akhir bagi wang tebusan berlalu minggu lalu, ekoran pembunuhan serupa ke atas seorang lagi tebusan warga Kanada, John Ridsdel, pada April lalu.

Flor telah dibebaskan di Sulu, kepulauan selatan yang dikenali sebagai tempat persembunyian para militan, ketua polis setempat, Wilfredo Cayat memberitahu AFP.

Cayat tidak memberikan butiran tentang keadaan pembebasan Flor melainkan mengatakan Flor diturunkan di luar rumah ahli politik tempatan, Abdusakur Tan di Jolo, pulau utama di Sulu.

Marites Flor selepas dibebaskan oleh militan Abu Sayyaf di Jolo, selatan pulau Mindanao pada 24 Jun. – AFP
Marites Flor selepas dibebaskan oleh militan Abu Sayyaf di Jolo, selatan pulau Mindanao pada 24 Jun. – AFP

Seorang lagi ahli politik dari kawasan itu Jesus Dureza memberitahu AFP bahawa dia telah berunding dengan para penculik bagi pihak Presiden Filipina yang baru dilantik, Rodrigo Duterte untuk mendapatkan pembebasan Flor.

“Flor memberitahu saya para penculiknya membangunkannya pada awal subuh dan mengarahkannya berkemas dan memberitahunya “Kamu akan pulang,” tambah Dureza.

Dureza kemudian mengiringi Flor dalam jet persendirian menuju bandar selatan Davao bagi pertemuan dengan Duterte, yang akan memegang jawatannya sebagai presiden baru Filipina pada 30 Jun.

Nasib tebusan warga Norway Kjartan Sekkingstad, yang telah diculik bersama-sama Flor dan warga-warga Kanada masih tidak diketahui.

Keempat-empat mereka telah diculik pada September lalu di atas bot layar di peranginan pelancong di Pulau Samal, kira-kira 500 kilometer ke barat Sulu.