TechXpo 2015 bermula 22 Okt ini

TechXpo 2015 bermula 22 Okt ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Pelbagai produk dan inovasi terkini dalam sektor teknologi akan dipamerkan oleh syarikat-syarikat teknologi tempatan semasa TechXpo 2015 yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 22 hingga 25 Oktober ini.

Ekspo empat hari itu bakal menyaksikan pelbagai produk canggih serta perkembangan terkini dalam sektor teknologi di mana kira-kira 150 buah gerai pameran disediakan bagi para peserta ekspo untuk menunjukkan produk dan teknologi terkini mereka kepada para pengunjung.

Sehubungan itu, bagi memberikan penerangan mengenai prosedur perasmian ekspo dan peraturan serta perkara berhubung logistik semasa ekspo itu, sesi taklimat bersama para peserta ekspo diadakan di Pejabat D’Sunlit Sdn Bhd, Beribi, hari ini.

Taklimat dikendalikan oleh Eksekutif Pemasaran D’Sunlit, Wendy Chok dan di akhir taklimat ringkas berkenaan, para peserta ekspo diberikan pas pengenalan serta dokumen penting berhubung ekspo berkenaan.

Di antara peserta dan wakil syarikat yang akan menyertai ekspo itu semasa sesi taklimat yang dijalankan.
Di antara peserta dan wakil syarikat yang akan menyertai ekspo itu semasa sesi taklimat yang dijalankan.

Ia bakal menonjolkan pameran dari syarikat teknologi tempatan dan luar negara yang akan mengetengahkan perkembangan terkini, menawarkan pelbagai promosi istimewa serta perkhidmatan eksklusif.

Di antara syarikat yang akan menyertai ekspo itu ialah Aifa, Concepts Computer, BIBD, Intracorp, TelBru, DST, JPMC dan Azutech.

Selain menyaksikan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini, orang ramai yang berkunjung ke ekspo itu, boleh menyertai pelbagai kegiatan menarik yang disediakan termasuk menyertai permainan damak elektronik atau menyertai permainan alam maya di mana mereka boleh menyelami dunia tiga dimensi pilihan mereka.

Di samping itu, kejohanan permainan siber juga akan diadakan di mana para peserta boleh mengambil bahagian dalam tiga permainan siber yang terkenal iaitu League of Legends (LOL), Defence Of The Ancients (DOTA2) dan Counter Strike: Global Operations.

Para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi pelbagai pilihan hadiah menarik termasuk hadiah wang tunai dan barangan eksklusif TechXpo 2015.

Ekspo teknologi terunggul Brunei berkenaan, yang dianjurkan oleh InfoCom Federation Brunei (IFB), diurus oleh D’Sunlit Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Perhubungan, Pihak Berkusa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan e-darussalam, merupakan kali keempat diadakan dengan matlamat untuk mengetengahkan teknologi terkini dan akan datang oleh peserta tempatan dan antarabangsa.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkembangan teknologi terkini dan pada masa yang sama, memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tawaran eksklusif bagi produk-produk yang diketengahkan sepanjang ekspo itu.

ARTIKEL YANG SAMA