TechXpo 2015 membuka tirai

TechXpo 2015 membuka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Ekspo teknologi terunggul di Negara Brunei Darusssalam, TechXpo 2015 membuka tirainya, hari ini, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di mana ia akan berlangsung sehingga 25 Oktober ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Mantan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis itu berkata, ekspo ini menyediakan platform yang sempurna untuk penggiat-penggiat bidang industri dan orang ramai untuk mengetahui trend teknologi, perkembangan, produk dan perkhidmatan di seluruh dunia.

Pada TechXpo tahun ini, yang membawa tema ‘Innovate Life with Technology’, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan sendiri pelbagai produk canggih serta perkembangan terkini dalam sektor teknologi di mana kira-kira 150 buah gerai pameran disediakan bagi para peserta dari dalam dan luar negara untuk menunjukkan produk dan teknologi terkini mereka di samping menawarkan pelbagai promosi istimewa serta perkhidmatan eksklusif.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah semasa melancarkan TechXpo 2015.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah semasa melancarkan TechXpo 2015.
Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat salah sebuah petak pameran di ekspo tersebut.
Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat salah sebuah petak pameran di ekspo tersebut.
Mantan Menteri Perhubungan bergambar ramai di depan petak pameran Brunei Press Sdn Bhd.
Mantan Menteri Perhubungan bergambar ramai di depan petak pameran Brunei Press Sdn Bhd.
Kejohanan permainan siber yang diadakan di ekspo tersebut.
Kejohanan permainan siber yang diadakan di ekspo tersebut.
Permainan damak elektronik yang boleh disertai oleh pengunjung.
Permainan damak elektronik yang boleh disertai oleh pengunjung.

Antara pameran yang menarik semasa ekspo itu termasuk Gov.Bn yang menampilkan pelbagai perkhidmatan e-kerajaan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti e-Darussalam, PSC Recruitment, JobCentre Brunei, BruHIMS, Talian Darussalam 123, Registry of Companies and Business Names, Geo-portal, eSikap, House Numbering, Brunei WX, OnlineJPD serta iFlyBrunei dan banyak lagi.

Antara syarikat yang menyertai ekspo itu termasuk Aifa, Concepts Computer, Intracorp, TelBru, DST dan Azutech di samping Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC).

Turut menyertai ekspo itu ialah penuntut Eco Marathon dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang baru-baru ini telah menyertai pertandingan Shell Eco-Marathon Asia 2015 di Manila.

Semasa ekspo ini mereka akan mempamerkan dua buah kereta yang mereka gunakan dalam pertandingan berkenaan iaitu Nakhoda dan Mutiara.

Selain menyaksikan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini, para pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan termasuk permainan damak elektronik atau permainan alam maya di mana mereka boleh menyelami dunia tiga dimensi pilihan mereka.

Kejohanan permainan siber juga akan diadakan di mana para peserta boleh mengambil bahagian dalam tiga permainan siber terkenal iaitu League of Legends (LOL), Defence Of The Ancients 2 (DOTA2) dan Counter Strike: Global Operations.

Para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai dan barangan eksklusif TechXpo 2015.

TechXpo 2015 yang diadakan buat kali ke-4 ini merupakan anjuran IFB, diurus oleh D’Sunlit Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Perhubungan, Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan e-Darussalam gov.bn.

Orang ramai yang berminat bolehlah mengunjungi ke Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang ekspo empat hari berkenaan, kecuali hari jumaat yang akan ditutup sementara bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA