TechXpo kembali lagi

TechXpo kembali lagi

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Selepas dua tahun terhenti, pameran teknologi besar-besaran TechXpo kembali dengan mengetengahkan teknologi terkini yang terdapat di Negara Brunei Darussalam dan negara-negara terpilih, yang bakal berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Menurut kenyataan D’Sunlit Sdn Bhd, selaku pengendali pameran anjuran InfoCom Federation Brunei berkenaan, TechXpo 2015 akan menampilkan pelbagai jenis teknologi yang sentiasa berkembang, yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian moden, sekali gus ada kaitan dengan majoriti pengguna termasuk pelajar, pekerja profesional dan suri rumah.

Semasa ekspo empat hari itu nanti, para pengunjung dijangka akan berpeluang mendapatkan barangan elektronik terkini dan tawaran hebat bagi telefon pintar, komputer riba dan barangan komputer.

Tambahan lagi, ekspo ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan Cyber Game, permainan damak elektronik dan Virtual Reality serta banyak lagi.

TechXpo yang turut mendapat sokongan Kementerian Perhubungan itu dibukakan dari pukul 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.techxpobn.com atau mengunjungi laman Facebook D’Sunlit Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA