TED bantu pulihara penyu daripada aktiviti perikanan

TED bantu pulihara penyu daripada aktiviti perikanan

SANDAKAN, 15 Okt – Penggunaan Peranti Penyisih Penyu (TED) ke atas pukat tunda membantu usaha memulihara penyu dan menghindar haiwan itu daripada menjadi mangsa aktiviti perikanan.

Pada masa sama, penggunaan peranti tersebut dapat memastikan nelayan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda secara selamat dan betul.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Dr Ahemad Ade berkata usaha kerajaan menekankan penggunaan TED semata-mata untuk memelihara penyu agar tidak menjadi mangsa aktiviti perikanan khususnya penggunaan pukat tunda.

“Penggunaan peralatan menangkap ikan yang mesra alam dan tidak merosakkan sumber marin amat penting diperkenalkan, diaplikasikan dan diamalkan oleh nelayan agar sumber perikanan negara, sentiasa dapat dipulihara dan bekalan ikan negara dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penggunaan TED ke atas pukat tunda udang peringkat negeri yang dihadiri 100 peserta di sini, hari ini.

Menurutnya terdapat 1,500 nelayan pukat tunda di negeri ini dan penggunaan TED tidak akan menjejaskan hasil tangkapan nelayan.

Katanya penglibatan nelayan untuk memulihara penyu antara spesies marin terancam, penting agar sumber perikanan perairan negara tidak pupus.

TED diperbuat daripada aluminium yang diletakkan di bahagian hadapan keroncong pukat tunda.

Penggunaannya bertujuan supaya spesies penyu atau mamalia marin yang terperangkap di dalam pukat tersebut berupaya menyelamatkan diri dengan berenang keluar dari pukat tersebut. – Bernama