Tega pukul bapa

Tega pukul bapa

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 24 Julai – Akibat mabuk, seorang anak sanggup mencederakan ayah kandungnya menggunakan kerusi plastik dan tongkat besi di Kampung Pelita malam Selasa lepas.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu mangsa 55 tahun, mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kanan selepas dipukul menggunakan tongkat besi dan kerusi plastik sehingga kerusi tersebut pecah oleh anaknya.

Selepas memukul bapanya, suspek 18 tahun, melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Katanya satu laporan polis dibuat isteri mangsa Selasa lepas sekitar jam 11.35 malam.

Kes terbabit ujarnya akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (kerana mendatangkan kecederaan).

Dalam kes berasingan kata Mohd Bukhori berkata seorang pelajar 21, dari Kampung Terumba di sini mengalami kerugian sekitar RM2,000 apabila motosikal jenis Yamaha yang dibeli daripada abangnya dicuri.

Motosikal berkenaan katanya diparkir di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Limbang (Bangunan Bangkita) sebelum dicuri dalam kejadian yang berlaku jam 10.30 malam Jumaat lepas.

“Satu laporan polis dibuat mangsa pada Isnin lepas sekitar jam 2.33 petang,” katanya lagi.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 379 A (Kanun Keseksaan, Curi Motosikal).