Tegakkan Islam sebagai agama al-wasatiah

Tegakkan Islam sebagai agama al-wasatiah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Negara Brunei Darussalam sebuah negara Islam beraliran Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah dan dari segi amalan fiqah pula bermazhab Syafi’i di mana ia dapat mengekalkan dan menegakkan agama Islam sebagai agama al-wasatiah.

Sehingga saat ini, ia terbukti membawa kepada keamanan, kesejahteraan dan keharmonian bagi Negara Brunei Darussalam, demikian menurut Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Dalam kertas kerja yang bertajuk ‘Mazhab-Mazhab Fiqah dan Pengukuhan Dasar-dasar Wasatiah’ sempena Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini, beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan oleh Brunei ke arah kelangsungan penghayatan dan pengamalan agama Islam sebagai ugama al-wasatiah yang membawa kepada kesejahteraan, antaranya ialah menerusi perlembagaan negara yang jelas menyebut Brunei adalah negara Islam bermazhab Syafi’i.

Selain itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan adalah berdasarkan Mazhab Syafi’i atau daripada pendapat Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali jika diperlukan dan ini diperuntukkan di dalam Akta Majlis Ugama Islam Dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77 daripada Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

Katanya, berpegang kepada al-madzahib al-fiqhiyyah dalam lingkungan aliran Ahli Sunnah Wal Jama\ʼah saja yang dapat menjelmakan Wasatiah Islam.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin, prinsip ini perlu diperkasa, dipelihara dan dimartabatkan ke arah melestarikan keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam juga telah mempraktikkan dan melaksanakannya sejak berkurun-kurun lamanya dan ini terbukti dengan apa yang telah kita nikmati pada masa kini dan sampai bila-bila.

Kertas kerja Yang Dimuliakan Pehin bertujuan menyingkap bagaimana al-madzahib al-fiqhiyyah berperanan dalam memperkasakan tonggak al-wasatiah.

Seterusnya akan memperlihatkan inti-inti ajaran Islam yang boleh memperlihatkan ciri-ciri wasatiah Islam sekali gus menepis dakwaan-dakwaan yang mempersoalkan kesesuaian Islam dengan pemikiran tersebut.

Dalam usaha itu, akan diketengahkan sumbangan al-madzahib al-fiqhiyyah dalam mendokong dan memperkasa nilai-nilai al-wasatiah khususnya berkaitan peranannya dalam memberikan gambaran dan penjelasan tepat mengenai pandangan dan ajaran Islam yang sebenar.

Di akhir kertas kerja turut dikongsikan pengalaman bagaimana Negara Brunei Darussalam mempraktikkan dan menerapkan teori bermazhab yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan penduduknya.

ARTIKEL YANG SAMA