Teguhkan hubungan rapat

Teguhkan hubungan rapat

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Resepsi Parti Ulang Tahun Ratu di Grand Foyer Theatre, Empire Hotel and Country Club, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kewangan II, di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Datin Hajah Sapiah binti Haji Sabtu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British, acara ini adalah bagi memperingati ke-200 Perkhidmatan Gurkha kepada Kerajaan Britain, serta pelbagai hubungan dua hala lain di antara Brunei dan United Kingdom (UK) termasuk perniagaan, pendidikan dan sukan.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell dalam ucapan alu-aluannya di majlis itu menekankan keteguhan hubungan di antara Brunei dan UK yang digambarkan dengan pertemuan mesra di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan Perdana Menteri Britain, Tuan Yang Terutama David Cameron di UK pada Februari lalu.

Selain itu juga, keberangkatan Baginda selaku tetamu kehormat pada Pertunjukan dan Makan Malam Gurkha di London minggu lalu, di samping Ratu Elizabeth II, Duke of Edinburgh, Prince of Wales dan Putera Harry, tambah Tuan Yang Terutama.

Yang Berhormat Pehin bersama Tuan Yang Terutama memotong kek ulang tahun ratu.
Yang Berhormat Pehin bersama Tuan Yang Terutama memotong kek ulang tahun ratu.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Tuan Yang Terutama David Campbell menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Tuan Yang Terutama David Campbell menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Di majlis Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan TYT David Campbell bersama-sama memotong kek sambutan, selain itu, Tuan Yang Terutama turut menyampaikan cenderahati berupa teko koleksi diraja sesuai dengan tema majlis.

Majlis resepsi berkenaan menampilkan tema ‘parti taman British’, di mana para jemputan disajikan dengan hidangan sandwic, kek, teh dan lemonad segar.

Menurut kenyataan itu, majlis ini turut ditaja oleh Supa Save, MINI dan Jaguar Land Rover (JLR), yang mana Supa Save menyediakan pelbagai jenis biskut dan coklat British dari jenama-jenama popular seperti Bendick’s Waitrose dan Duchy Original untuk para jemputan.

Sementara itu, pada pameran yang turut diadakan MINI dan Jaguar Land Rover mengetengahkan kereta-kereta terhebatnya sekali gus, memaparkan kemajuan industri automotif British.

Turut dipamerkan adalah empat imej daripada Kempen GREAT, yang bertujuan untuk menunjukkan yang terbaik daripada apa ditawarkan Britain dan menggalakkan dunia untuk melawat, belajar dan menjalankan perniagaan dengan UK.

Sesuai dengan majlis memperingati Perkhidmatan Gurkha, majlis acara diakhiri dengan pertunjukan kebudayaan Gurkha yang dinamakan Tarian Kurki yang dipersembahkan oleh anggota Garisson Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA