Tehran tidak langgar perjanjian nuklear – Javad

Tehran tidak langgar perjanjian nuklear – Javad

CANBERRA, 15 Mac (AFP) – Ujian peluru berpandu balistik yang dijalankan oleh Tehran baru-baru ini tidak mencabul resolusi PBB dan adalah sah, kata Menteri Luar Mohammad Javad Zarif hari ini selepas disoal mengenai isu tersebut oleh Australia.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertemu semalam atas permintaan Amerika Syarikat untuk membincang ujian peluru berpandu yang telah menimbulkan prospek sekatan baru. Namun Zarif berkata di bawah Resolusi 2231, diluluskan beberapa hari selepas Iran mencapai satu perjanjian nuklear dengan kuasa dunia pada tahun lalu, Tehran berhak melancarkan ujian.

Beliau berkata kata-kata resolusi tidak menggunakan istilah wajib maka “Iran tidak tertakluk oleh 2231.” Kedua, ia hanya merangkumi peluru berpandu “yang dicipta untuk membawa kepala peluru berpandu nuklear,” beritahunya kepada wartawan di Canberra.

“Memandangkan kami tidak mempunyai kepala peluru berpandu nuklear dan kami telah memutuskan tidak menghasilnya, dan komuniti antarabangsa telah menetapkan mekanisme terbaik yang boleh dibeli oleh wang demi memastikan kami tidak menghasilkan senjata nuklear, kami tidak mencipta mana-mana peluru berpandu untuk membawa barang yang tidak dimiliki oleh kami,” kata Zarif.

Mohammad Javad Zarif bercakap semasa sidang akhbar di Rumah Parlimen Australia di Canberra kelmarin. – Reuters
Mohammad Javad Zarif bercakap semasa sidang akhbar di Rumah Parlimen Australia di Canberra kelmarin. – Reuters

“Maka peluru berpandu berkenaan tidak terjatuh dalam skop 2231 dan mereka adalah sah.”

Iran menembak dua peluru berpandu balistik jarak jauh pada 9 Mac, sehari selepas ujian yang sama yang diadakan kurang dua bulan selepas perjanjian nuklear Iran dilaksanakan.

Zarif menekankan peluru berpandu sedang dihasilkan hanya untuk pertahanan Iran. Di bawah perjanjian nuklear bersejarah, kebanyakan resolusi sekatan PBB ke atas Tehran dibatalkan, tetapi satu sekatan senjata dan sekatan ke atas teknologi peluru berpandu balistik masih berkuatkuasa.

Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata beliau telah mengemuka soalan tersebut dengan rakan sejawatan Iran, dan mereka telah mengadakan ‘perbincangan amat terperinci’.

“Kami membincang persepsi, keadaan politik yang menyelubunyi masa,” kata beliau.

“Australia berpendapat sekiranya Majlis Keselamatan PBB ingin menyiasat perkara ini, maka ia akan menjadi proses perundangan yang wajar untuk mereka berbuat demikian.”