Tekad berhenti merokok

Tekad berhenti merokok

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Pasukan Polis Diraja Brunei merupakan kumpulan pertama yang memenangi Kempen Quit2Win Berkumpulan Sempena Ramadan 2015 yang mana 60 peratus daripada mereka telah berjaya menghentikan tabiat merokok sepanjang kempen dijalankan.

Manakala itu, Jabatan Perdana Menteri memenangi tempat kedua dan Kementerian Pendidikan pula di tempat ketiga dengan kedua-dua kumpulan ini mencatatkan 40 peratus daripada mereka yang menyertai kempen itu berjaya menghentikan tabiat merokok.

Penyampaian hadiah telah diadakan pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, pagi tadi dan disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Kementerian Kesihatan, Haji Mahrub bin Haji Murni.

Kempen ini juga diadakan bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2015 yang dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan bagi mempromosikan lagi perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok melalui pemberian insentif kepada mereka yang berjaya berhenti merokok.

Haji Mahrub menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta.
Haji Mahrub menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta.
Dr. Awang Zainal Ariffin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Penutup Kempen Quit2Win.
Dr. Awang Zainal Ariffin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Penutup Kempen Quit2Win.
Peserta-peserta yang berjaya dalam Kempen Quit2Win bergambar ramai bersama Haji Mahrub.
Peserta-peserta yang berjaya dalam Kempen Quit2Win bergambar ramai bersama Haji Mahrub.

Pengarah Umum di Kementerian Kesihatan, Dr. Awang Zainal Ariffin bin Haji Awang Yahya, semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu menjelaskan, kempen ini dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan yang berminat berhenti merokok bermula 1 Ramadan 1436H.

Antara peserta yang ikut serta ialah dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan dan beberapa buah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Pasukan Polis Diraja Brunei.

Secara keseluruhannya, seramai 41 orang peserta telah mengikuti kempen yang berlangsung selama enam bulan dan 18 orang atau 44 peratus daripada mereka telah berjaya berhenti merokok semasa kempen dijalankan. Manakala itu, sebilangan besar peserta berjaya mengurangkan jumlah rokok yang dihisap dalam sehari.

Antara matlamat kempen ini adalah untuk menurunkan kadar jumlah perokok di negara ini melalui pemberian ganjaran atau insentif kepada perokok-perokok yang berjaya berhenti rokok.

Dengan adanya sokongan tersebut dan daripada rakan sekerja, ia juga akan dapat menguatkan lagi semangat untuk berhenti merokok.

Pada majlis itu, Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang kaunselor berhenti merokok dari Kementerian Kesihatan sejak tahun 2012, Haji Mohamad Nooralif bin Haji Serudin yang juga diamanahkan menjadi kaunselor kepada peserta-peserta dari Pasukan Polis Diraja Brunei semasa Kempen Quit2Win.

Menurut beliau, menerusi kempen tersebut, empat daripada lima pesertanya telah berjaya berhenti merokok, dan sebagai kaunselor, beliau mengongsikan saranan, panduan, nasihat yang bukan sahaja bergantung penjumpaan mereka di klinik-klinik bahkan mereka juga saling berinteraksi melalui WhatsApp.

Beliau menyarankan para peserta kempen agar meneruskan menghentikan tabiat merokok kepada yang berjaya dan selebihnya, akan cuba menghentikan tabiat merokok untuk lebih berusaha dan tidak putus asa demi kebaikan kesihatan diri dan orang sekitar.

Menerusi kempen itu juga, Kementerian Kesihatan menyatakan harapan agar para peserta akan dapat memberikan inspirasi kepada rakan sekerja dan ahli keluarga yang lain bagi sama-sama berusaha menjadikan diri bebas tembakau.

ARTIKEL YANG SAMA