Tekad beri khidmat terbaik

Tekad beri khidmat terbaik

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Nov – Kementerian Kesihatan sentiasa bekerja keras dan giat dalam menilai semula pencapaian dan isu-isu yang menjadi perhatian orang ramai ke arah meningkatkan tahap kesihatan di negara ini, lebih-lebih lagi dalam mengharungi iklim ekonomi yang masih dalam keadaan tidak menentu dan mencabar.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata, kementeriannya melihat semua itu sebagai satu peluang untuk menuju ke arah perubahan di mana kita tidak dapat lagi berpaut kepada cara lama dalam menghadapi cabaran-cabaran yang bersifat dinamik lagi kompleks, malahan kita juga perlukan perubahan minda dan tidak dapat lagi bersikap ‘business as usual’.

Berucap pada Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Berkepentingan bagi Daerah Belait di Pusat Perkembangan dan Pembelajaran Kesihatan, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, hari ini, beliau berkata, kementerian berkenaan juga tidak kendur-kendur dan sentiasa peka menangani isu semasa yang melibatkan orang ramai dan mana-mana pihak berkepentingan dengan memahami serta menampung keperluan mereka secara berterusan.

“Adalah amat penting bagi Kementerian Kesihatan untuk terus membuat pendekatan bersama pihak-pihak berkepentingan dan orang awam bagi memastikan realiti sebenar isu-isu perkhidmatan kesihatan akan dapat dikenal pasti untuk tindakan sewajarnya.

“Ini akan memastikan Kementerian Kesihatan akan terus dapat menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih optimum dengan memberikan nilai tambah bagi memastikan pelanggan akan terus menerima rawatan yang terbaik melalui pendekatan delivery dan juga outcome approach untuk mencapai hasil yang dihasratkan,” katanya lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain semasa berucap pada Sesi Muzakarah Bersama Ahli-ahli Berkepentingan Daerah Belait di Hospital Suri Seri Begawan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain semasa berucap pada Sesi Muzakarah Bersama Ahli-ahli Berkepentingan Daerah Belait di Hospital Suri Seri Begawan.

Sebagai kesimpulan, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha dalam memberikan khidmat dan kualiti perkhidmatan kesihatan yang tinggi, tepat pada masanya, selamat, kos efektif, efisien dan inovatif sesuai dengan keperluan pada masa ini dan akan datang, tegas beliau.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain, pihak kementerian pada masa ini memberikan fokus kepada tiga strategi utama iaitu pertama, pengawalan penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit; kedua, penyepaduan dan penyejajaran khidmat kesihatan demi memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan pembaziran.

“Strategi ketiga, memperkukuhkan lagi usaha penjagaan kesihatan di negara ini bersama semua pihak berkepentingan dari semua peringkat kerajaan, swasta, dan lapisan masyarakat khususnya setiap individu supaya sama-sama bertanggungjawab dan komited sepenuhnya dalam menjaga dan memelihara kesihatan masing-masing.

“Sementara itu Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Dr Awang Hazri bin Haji Kifle memberitahu Media Permata, muzakarah tersebut merupakan inisiatif kementerian dalam membuat pendekatan untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh orang ramai dalam meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan dan dalam membudayakan cara hidup yang sihat.

Ia juga merupakan satu wadah untuk berkongsi maklumat dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk menambahbaikkan usaha dalam mencapai visi dan strategi Kementerian Kesihatan.

Haji Zakaria berkata, melalui muzakarah itu akan dapat mendengar pandangan atau maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan untuk Kementerian Kesihatan meningkatkan kualiti.

Dr Awang Hazri pula memberitahu, dapatan daripada sesi muzakarah itu akan disejajarkan dengan strategi utama Kementerian Kesihatan iaitu pengawalan penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit, penyepaduan dan penyejajaran khidmat kesihatan demi memberikan nilai tambah kepada para pelanggan ataupun orang awam dan mengurangkan pembaziran serta memperkukuhkan lagi usaha penjagaan kesihatan di negara ini bersama semua pihak berkepentingan, supaya sama-sama bertanggungjawab dan komited sepenuhnya dalam menjaga dan memelihara kesihatan masing-masing.

Sesi muzakarah berkenaan merupakan yang pertama dan ia akan diteruskan lagi di Daerah Temburong esok, di Daerah Tutong Khamis depan dan Daerah Brunei dan Muara pada Sabtu.

Hadir pada majlis tersebut Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan; timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kesihatan; Pegawai Daerah Belait; pegawai-pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; para penghulu dan ketua-ketua kampung serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA