Tekad elak ‘skrip’ sama

Tekad elak ‘skrip’ sama

MARIBOR, 17 Nov (Agensi) – Minda jurulatih Ukraine, Mikhail Fomenko dibelenggu kegagalan lalu ketika beliau bertekad menamatkan badi kekecewaan perlawanan play-off dengan mara ke Euro 2016.

Kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Slovenia, hasil jaringan Andriy Yarmolenko dan Yevhen Seleznyov meletakkan pasukannya di depan menjelang perlawanan timbal balik di Maribor, awal pagi esok, namun mereka pernah mengalami kekecewaan sebelum ini.

Ukraine tewas perlawanan play-off menentang lawan sama apabila gagal ke Euro 2000 16 tahun lalu selain tewas perlawanan timbal balik untuk layak ke Piala Dunia 1998, 2002, 2010 dan 2014.

Kekalahan terbaru adalah ketika menentang Perancis. Selepas menang 2-0 di tempat sendiri, mereka tewas 0-3 di Paris empat hari kemudian dan mereka mahu mengelak nasib sama kali ini.

Mikhail Fomenko. – Reuters
Mikhail Fomenko. – Reuters

“Tentu sekali lebih baik memulakan perlawanan di tempat lawan tapi kami tidak boleh mengubah apa-apa kerana undian,” kata Fomenko. “Kami mempunyai pengalaman menewaskan Perancis di laman sendiri pada perlawanan pertama dan mahu memanfaatkannya untuk perlawanan kali ini.

“Agak mengecewakan kami gagal mendapat gol ketiga. Kini kami mempunyai masa, pemain boleh berehat dan kemudian kami putuskan barisan pemain. Pemain tahu apa perlu dilakukan pada perlawanan kedua.”