Tekad harumkan nama negara

Tekad harumkan nama negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Persediaan intensif yang dilakukan selama empat minggu diharap dapat memberikan peluang kepada para pelajar yang terpilih untuk mengambil bahagian dalam ASEAN Plus Three Junior Science Odyssey (APTJSO) ke-5 yang akan diadakan di Filipina untuk memberikan saingan yang terbaik setanding dengan negara-negara lain yang bertanding dalam acara itu.

Pasukan dari Negara Brunei Darussalam yang dianggotai oleh seramai enam orang pelajar berbakat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B, berhasrat untuk mengharumkan nama negara serta memberikan saingan yang terbaik dalam acara berkenaan.

Pegawai pengiring dari Unit Pendidikan Khas, Dayang Norhidanajibah binti Tompal berkata, para pelajar berharap untuk meraih kemenangan dalam acara itu dan memahami bahawa saingan yang dihadapi oleh mereka adalah amat sukar sekali.

Menurutnya lagi, mereka setentunya mengharapkan kemenangan dalam acara itu tetapi perkara lebih penting bukan sahaja bagi pelajar-pelajar yang mewakili negara bahkan guru-guru pengawas, merupakan pengalaman yang diperoleh menerusi penyertaan dalam acara itu yang amat berguna untuk membina diri mereka.

Bagi para pelajar, mereka boleh mempelajari dengan lebih dekat amalan pembelajaran dan pemikiran mengenai isu-isu sains yang ditonjolkan oleh peserta dari negara-negara yang mengambil bahagian.

Dayang Norhidanajibah (kanan sekali) bersama-sama Dayang Nor’Azali serta enam pelajar berbakat Negara Brunei Darussalam bergambar ramai sebelum berlepas ke Filipina bagi menyertai APTJSO ke-5.
Dayang Norhidanajibah (kanan sekali) bersama-sama Dayang Nor’Azali serta enam pelajar berbakat Negara Brunei Darussalam bergambar ramai sebelum berlepas ke Filipina bagi menyertai APTJSO ke-5.

Manakala itu, bagi guru-guru pengawas pula, mereka boleh memperoleh amalan-amalan terbaik dalam penyampaian ilmu pengetahuan dalam bilik darjah dan berkongsi pengalaman dengan para guru pengawas dari negara lain yang sama-sama menghadiri acara itu.

Pasukan negara bersama-sama dua orang pegawai pengiring, diketuai oleh Dayang Norhidanajibah, berlepas ke Filipina hari ini bagi menyertai pertandingan tersebut yang diadakan di University of The Philippines Los Banos (UPLB), College, Laguna, bermula hari ini hingga 18 Jun.

Rombongan negara terdiri daripada Dayang Norhidanajibah, guru dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Dayang Nor’Azali binti Dato Paduka Haji Jumat bersama-sama enam orang pelajar yang dibahagikan kepada dua pasukan iaitu Pasukan A yang diwakili oleh Awang Muhammad Haziq Zikry bin Mohammad Ariff dan Awang Teo Siang Jun dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) serta Dayang Noor Imanina binti Haji Ahmad Nizam dari Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Pasukan B pula diwakili oleh Dayang Adibah Syahmina binti Mohammad Amin dari Maktab Sains, Awang Khairul Ikhwan bin Abdul Rahman dari Sekolah Menengah Katok dan Awang Muhammad Adiib bin Haji Ismail dari Sekolah Antarabangsa Brunei.

Kedua-dua kumpulan itu dikehendaki memberikan penerangan mengenai poster yang dihasilkan dan menduduki sesi penilaian kemahiran makmal di mana Pasukan A akan menyampaikan poster bertajuk ‘Resiliency of Tropical Rainforests to Rising CO2 Levels,‘ manakala itu, Pasukan B pula akan menyampaikan poster bertajuk ‘The Role of Rainforests in Rainfall Patterns.’

Pertandingan APTJSO merupakan pertandingan tahunan yang disasarkan khusus bagi pelajar-pelajar berbakat berusia di antara 13 hingga 15 tahun di rantau Asia Pasifik yang bertanding untuk mempamerkan kemahiran makmal mereka dalam mata pelajaran sains iaitu Biologi, Kimia dan Fizik serta untuk bekerjasama dengan pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN+3 untuk menyampaikan projek serta menyampaikan projek poster negara masing-masing.

Pertandingan yang memasuki tahun ke-5 dengan tema ‘Climate Change and the Rainforest’ itu dihoskan oleh Science Education Institute, Department of Science and Technology (DOST-SEI), Filipina dengan kerjasama UPLB dan ASEAN+3 Center for the Gifted in Science (ACGS).

Para pelajar bukan sahaja akan menghadiri sesi ceramah tetapi juga akan menyertai pertandingan poster dan pembentangan dengan projek mereka serta mengambil bahagian dalam kegiatan menanam pokok, penilaian kemahiran makmal serta perbincangan dan memberikan cadangan mengenai projek bertajuk ‘Protection and Conservation of the Rainforest.’

Sementara itu, para pegawai pengiring juga mempunyai program mereka tersendiri di mana ia bermatlamat untuk meningkatkan lagi kompetensi pengajaran mereka menerusi sesi perbincangan, perkongsian idea dan amalan terbaik di antara para guru dari negara-negara ASEAN+3 yang menghadiri acara itu.

Antara topik yang dibincangkan oleh mereka termasuk perubahan iklim, kepelbagaian hutan hujan berhubu-ngan dengan risiko bencana dan perubahan iklim serta usaha mengurangkan kejadian bencana.

Pada masa yang sama, Dayang Norhidanajibah dan Dayang Nor’Azali juga akan menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Strategi-strategi Pengajaran bagi Perubahan Iklim’ dan mereka juga kan berpeluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya masyarakat Filipina menerusi acara perlumbaan yang membawa konsep ‘Amazing Race’.

ARTIKEL YANG SAMA