Tekad pemedulian anak yatim Daerah Tutong

Tekad pemedulian anak yatim Daerah Tutong

Oleh Yusrin Junaidi dan Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Jabatan Penerangan, menerusi Program Ramadan Penerangan, hari ini, telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada seramai 14 orang anak yatim dari Kampung Sengkarai Tutong.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Sengkarai Tutong dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Sengkarai, Mukim Tutong, itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan derma sebelum bersungkai beramai-ramai dan diteruskan dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

Penyampaian sumbangan berkenaan dihasratkan untuk berkongsi sedikit kegembiraan bersama warga emas dan anak-anak yatim dalam kesibukan mempersiapkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, yang mana ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka terutama golongan anak-anak yatim.

Salah seorang anak yatim berkata, beliau sangat bersyukur atas sumbangan derma yang diberikan, kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu beliau membeli barang keperluan bagi menyambut hari lebaran nanti.

Haji Mohd Rozan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim di majlis yang berlangsung di Kampung Sengkarai Tutong.
Haji Mohd Rozan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim di majlis yang berlangsung di Kampung Sengkarai Tutong.
Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi dan Pengarah Urusan Nazmi Textile, Awang Nazeer Ahmed Zakaria menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi dan Pengarah Urusan Nazmi Textile, Awang Nazeer Ahmed Zakaria menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Sementara itu dalam acara berasingan hari ini, seramai 181 anak yatim di Daerah Tutong menerima sumbangan derma mereka hari ini di majlis penyampaian yang berlangsung di kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong. Hadir menyampaikan sumbangan derma ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali dan Pengarah Urusan Nazmi Textile, Awang Nazeer Ahmed Zakaria dan isteri masing-masing.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sumbangan derma berupa tekstil dan wang tunai oleh Nazmi Textile yang diharapkan akan dapat menggembirakan anak-anak yatim semasa kedatangan sambutan Hari Raya.

Majlis hari ini juga diteruskan dengan acara Tahlil yang dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah diikuti dengan doa tahlil dan majlis berbuka puasa yang disediakan oleh Nazmi Textile.

ARTIKEL YANG SAMA