Tekad pemedulian anak yatim, pelajar Pusat Ehsan

Tekad pemedulian anak yatim, pelajar Pusat Ehsan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Julai – Seramai 30 orang pelajar istimewa Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait serta 10 orang anak yatim menerima sumbangan derma daripada Restoran Chicken King Belait dan Syarikat Agensi Lim and Ho Employment, pada majlis yang diadakan di restoran tersebut semalam.

Ia merupakan antara aktiviti amal diadakan setiap tahun bersempena bulan Ramadan oleh kedua-dua syarikat tersebut dan turut diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah dan bersungkai bersama-sama, dengan para pelajar istimewa dan ibu bapa serta penjaga mereka serta anak-anak yatim dan ibu mereka.

Pengurus Restoran Chicken King, Pengiran Sulfiah binti Pengiran Abd Razak, memberitahu Media Permata, majlis seperti itu telah diadakan sejak restoran mereka ditubuhkan pada tahun 2008 dan menurutnya pelajar-pelajar istimewa pusat berkenaan sudah seperti ahli keluarga mereka sendiri dan mereka mahu membantu menceriakan mereka bersempena dengan Ramadan yang Mubarak ini.

“Sedikit bantuan daripada kami dengan hasrat supaya dapat menceriakan pelajar-pelajar istimewa dalam membuat persediaan menjelang Hari Raya, dan pada tahun ini Alhamdulillah kami melaratkan lagi acara amal ini dengan mengundang anak-anak yatim juga dengan hasrat sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Penyampaian sumbangan kepada pelajar istimewa Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait oleh isteri Pengurus Syarikat Agensi Lim dan Ho Employment disaksikan oleh Lim Thian Min dan Penghulu Mukim Belait.
Penyampaian sumbangan kepada pelajar istimewa Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait oleh isteri Pengurus Syarikat Agensi Lim dan Ho Employment disaksikan oleh Lim Thian Min dan Penghulu Mukim Belait.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Syarikat Agensi Lim and Ho Employment, Lim Thian Ming dan isteri, Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali dan Pengurus Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait Dayang Hamimah binti Haji Sapar serta beberapa orang tenaga pengajar dan pembantu di pusat tersebut.

Selain itu majlis tersebut juga diadakan dengan tujuan mengeratkan lagi tali silaturahim antara satu sama lain dan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan bersedekah dan berbuat amal berkebajikan oleh syarikat-syarikat tersebut.

Sumbangan yang berupa sampul hijau berisi wang tunai itu telah disempurnakan penyampaiannya kepada anak-anak yatim dan pelajar-pelajar istimewa daripada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam Daerah Belait yang masing-masing berusia antara dua hingga 47 tahun, oleh Pengiran Sulfiah dan juga isteri kepada Pengurus Syarikat Agensi Lim dan Ho Employment, disaksikan oleh Penghulu Mukim Belait.