Tekad pemedulian Jabatan Penerangan

Tekad pemedulian Jabatan Penerangan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Sempena memperingati penubuhannya yang ke-63 tahun, Jabatan Penerangan, hari ini, telah menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di Kampung Bengkurong.

Penyampaian sumbangan yang berlangsung di kediaman para penerima telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar yang juga Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Penghulu Mukim Kilanas, Haji Abdullah bin Haji Halus dan Ketua Kampung Bengkurong/Kampung Sinarubai/Kampung Burong Lepas, Haji Talib bin Haji Bakar, para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Penerangan serta penduduk Kampung Bengkurong.

Penerima sumbangan terdiri daripada keluarga Allahyarham Awang Omarali bin Zakaria yang merupakan pemandu di Jabatan Penerangan dan telah kembali ke rahmatullah sekitar awal tahun ini.

Keluarga Allahyarham Omarali bergambar ramai bersama pemangku pengarah penerangan, pemangku timbalan pengarah penerangan serta ketua kampung dan pegawai-pegawai penerangan.
Keluarga Allahyarham Omarali bergambar ramai bersama pemangku pengarah penerangan, pemangku timbalan pengarah penerangan serta ketua kampung dan pegawai-pegawai penerangan.

Semasa berdudun ke rumah keluarga Allahyarham, Awang Mawardi menyampaikan sumbangan berupa makanan asasi seperti beras, gula, minyak dan sebagainya, serta wang tunai kepada balu Allahyarham.

Sementara itu, seorang lagi penerima ialah Awang Yunus bin Haji Timbang, 45, yang mengambil upah seikhlas hati daripada membaiki kereta orang yang memerlukan bantuannya untuk menyara keluarganya.

Beliau mempunyai lima anak bersama isterinya, Dayang Ratini binti Makmun, yang mana dua daripadanya telah pun berkahwin.

Ratini dalam temu bual ringkas menjelaskan, keluarga mereka juga menerima bantuan daripada Baitul Mal setiap bulan bersama bantuan daripada sanak saudara dan rakan-rakan lain.

“Alhamdulillah, dengan bantuan yang dihulurkan oleh Jabatan Penerangan, hari ini, dapatlah mengurangkan beban kami sekeluarga dari segi belanja dapur memandangkan bantuan daripada Baitul Mal adalah terhad untuk belanja dapur sahaja dan tidak terdaya untuk membayar bil elektrik dan air,” jelasnya lagi.

Tiga daripada anak beliau masih bersekolah dan ada yang sedang menunggu jawapan permohonan jawatan kosong di beberapa tempat yang dipohonkan bersesuaian dengan kelulusan masing-masing.

Sumbangan derma berkenaan merupakan hasil kutipan ikhlas daripada para pegawai dan kakitangan di Jabatan Penerangan serta orang-orang persendirian yang menunjukkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab dalam memeduli kepentingan kebajikan hal ehwal kemasyarakatan di negara ini khususnya. Majlis penyampaian derma berkenaan merupakan salah satu aktiviti sampingan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri yang dikendalikan oleh Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dalam usaha untuk terus menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan dan berkebajikan, dengan melaksanakan sumbangan derma dan amal jariah yang bermanfaat.

Dalam pada itu, institusi mukim dan kampung juga mendapat manfaat bersama dengan interaksi yang kukuh antara dua institusi ini untuk bergiat aktif serta menjalankan tugas dan tanggungjawab bersama dalam memeduli kepentingan masyarakat di negara ini dalam majlis dan aktiviti yang berkebajikan seperti ini.

ARTIKEL YANG SAMA