Tekan kepentingan pemuda

Tekan kepentingan pemuda

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya bersama Exco Unit Keugamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar, baru-baru ini, telah mengadakan ceramah umum sempena Program ‘Awakening The Ummah’ bertajuk ‘Ahamiyatus Syabab’ (Kepentingan Pemuda).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar UNISSA, Awang Supri bin Haji Sudin.

Ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Isham bin Ismail yang antara lain menekankan lima perkara penting perlu ada bagi seorang belia iaitu usaha yang gigih, mendekatkan diri kepada Allah, fleksibel dalam melakukan apa saja pekerjaan, belajar dari solat dan mendahulukan apa yang penting.

Awang Isham ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Ahamiyatus Syabab’.
Awang Isham ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Ahamiyatus Syabab’.

Ceramah umum ini adalah untuk memberikan kesedaran betapa besarnya peranan belia dalam pembentukan negara, bangsa dan ummah di samping memanfaatkan waktu muda para belia kepada aktiviti yang lebih bermanfaat dan berkebajikan.

Selain itu, ia juga memberikan motivasi dan semangat kepada para belia untuk menjadi syabab terbaik kerana Allah dan agama serta memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan dan peranan seorang Muslim.

Sementara itu, semalam, ceramah umum seumpamanya telah diadakan lagi dengan tajuk ‘Hamasah Asy-Syabab’ (Semangat Pemuda) yang disampaikan oleh Dr. Kamarusalam bin Yusuf.

ARTIKEL YANG SAMA