Tekan kerjasama pelbagai bidang

Tekan kerjasama pelbagai bidang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Perwakilan Senat Perancis, Senator Joelle Garriaud-Maylam mengakhiri lawatan empat hari ke negara ini hari ini.

Semasa berada di sini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin wanita tempatan termasuklah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, dan berpeluang berbincang mengenai hak, pendidikan dan kepentingan bersama wanita.

Selain itu, beliau turut menerokai keindahan negara ini melalui kunjungan ke tempat-tempat pelancongan dan kebudayaan termasuk Syarikat Total E&P Borneo.

Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam bersama Senator Joelle Garriaud-Maylam (kanan).
Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam bersama Senator Joelle Garriaud-Maylam (kanan).

Semasa ditemu bual wartawan, beliau sedikit sebanyak menyentuh mengenai salah faham dalam kalangan negara Eropah mengenai undang-undang syariah di Negara Brunei Darussalam dan menyatakan apa yang beliau saksikan sendiri, negara ini merupakan sebuah negara selamat dan rakyatnya hidup aman damai.

“Saya ingin membantu Brunei dalam apa sahaja kerjasama yang membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, ini termasuklah kerjasama sains, pendidikan dan budaya dengan bantuan Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Loan Forgeron,” katanya.