Tekanan air rendah akibat kemarau

Tekanan air rendah akibat kemarau

BAU, 29 Jun (Bernama) – Beberapa buah kampung di daerah ini sedang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air bersih terutama pada musim kemarau sekarang.Satu daripada kampung yang menghadapi masalah itu ialah Kampung Stungkor Lama.

Ketua kampungnya Nojey Naking berkata keadaan menjadi kritikal setiap kali musim kemarau, iaitu antara bulan Jun hingga Oktober.

Katanya, sumber air paip ke kampung itu dibekal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi tekanan air menjadi rendah pada setiap musim kemarau.

“Keadaan ini memaksa kami meminta bantuan daripada JKR Lundu untuk membekalkan air menggunakan lori kepada penduduk kampung,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nojey meminta supaya kerajaan membina jalan di dalam kampung berkenaan dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin ketika melawat ke kampung itu pada Sabtu telah mengarah pihak JKR untuk membina jalan tersebut. Selain itu, pemasangan lampu jalan di dalam kampung akan turut dilaksanakan, kata Nojey. Semasa lawatan itu, Manyin turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10,000 untuk kampung berkenaan.