Tekanan k’jaan Thai batalkan projek kereta api laju

Tekanan k’jaan Thai batalkan projek kereta api laju

BANGKOK, 3 April (Bernama) – Kerajaan Thai menghadapi tekanan yang semakin memuncak agar membatalkan projek Keretapi Laju (HSR) selepas perbincangan dengan rakan kongsi usaha samanya, iaitu China gagal dan memaksa Bangkok melaksanakan projek bernilai berpuluh juta dolar itu bersendirian.

Semasa menghadiri mesyuarat Kerjasama Lancang-Mekong di Hainan, China minggu lepas, Perdana Menteri Thai, Jeneral Prayuth Chan-o-cha mengumumkan yang Bangkok akan melabur sepenuhnya dalam projek HSR itu, tanpa China sebagai rakan kongsi.

Perbincangan dengan China buntu kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan ke atas beberapa isu, iaitu kadar faedah pinjaman dari Beijing untuk projek itu dan desakan China untuk mendapatkan hak eksklusif bagi memajukan tanah di sepanjang jalan kereta api berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Mejar Jeneral Sansern Kaewkannerd dalam satu kenyataan berkata, keputusan Prayuth agar Thailand sahaja melabur dalam projek HSR tanpa China, dibuat berdasarkan kepentingan negara.

“Perdana Menteri membuat keputusan itu berdasarkan kepentingan nasional, untuk ketika ini dan masa depan,” katanya mengenai projek HSR sepanjang 870 kilometer itu yang akan menghubungkan Bangkok ke Nong Khai di Laos yang dianggar melibatkan kos RM50 bilion.

ARTIKEL YANG SAMA