Tekanan memuncak ke atas China untuk mengawal Korea U

Tekanan memuncak ke atas China untuk mengawal Korea U

SEOUL/BEIJING, 8 Jan (Reuters) – Korea Selatan melancarkan kempen propaganda besar-besaran di sempadannya dengan Korea Utara pada hari ini sebagai tindakan balas terhadap ujian nuklearnya, sementara Amerika Syarikat menggesa China supaya menamatkan “urusannya seperti biasa” dengan sekutunya.

Siaran itu, daripada pembesar suara di 11 lokasi di sepanjang sempadan yang dikawal tentera, melaungkan retorik yang mengkritik rejim Korea Utara serta muzik “K-pop”, sekaligus mempertingkatkan ketegangan di antara kedua-dua Korea.

Korea Selatan, yang semakin rapat dengan China dalam beberapa tahun ini, juga berkata menteri luarnya akan bercakap dengan rakan sejawatan China pada lewat hari ini.

Ujian nuklear pada Rabu menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat dan China, yang tidak diberikan notis awal, walaupun kerajaan AS dan pakar senjata meragui dakwaan Pyongyang mengatakan alat yang diletupkannya adalah bom hidrogen.

Setiausaha Negara AS John Kerry berkata semalam beliau telah menjelaskan dalam satu panggilan telefon dengan Menteri Luar China Wang Yi bahawa pendekatan China terhadap Korea Utara telah menemui kegagalan.

“China mempunyai pendekatan tertentu yang ingin dilakukannya, yang kami setuju dan hormati untuk memberikan mereka ruang untuk melaksananya,” beritahu Kerry kepada wartawan.

“Hari ini, dalam perbualan saya dengan China, saya menjelaskan ia tidak berkesan dan kami tidak dapat meneruskan urusan seperti biasa.”

China adalah penyokong ekonomi dan diplomatik utama Korea Utara, walaupun hubungan di antara kedua-dua sekutu Perang Dingin telah menjadi dingin dalam beberapa tahun ini.

China berkata selepas perbualan dengan Kerry bahawa ia rela berkomunikasi dengan semua pihak, termasuk Amerika Syarikat.

“Wang Yi menekankan China telah mendedikasikan diri mereka kepada matlamat untuk membebaskan senjata nuklear di semenanjung dan mengekal keamanan dan kestabilan di semenanjung,” kata Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.

ARTIKEL YANG SAMA