Tekanan meningkat agar kerajaan Thai batal projek kereta api laju

Tekanan meningkat agar kerajaan Thai batal projek kereta api laju

BANGKOK, 3 Mac (Bernama) – Kerajaan Thai menghadapi tekanan yang semakin memuncak agar membatalkan projek Kereta api Laju (HSR) selepas perbincangan dengan rakan kongsi usaha samanya, iaitu China gagal dan memaksa Bangkok melaksanakan projek bernilai berpuluh juta dolar itu bersendirian.

Semasa menghadiri mesyuarat Kerjasama Lancang-Mekong di Hainan, China minggu lepas, Perdana Menteri Thai, Jeneral Prayuth Chan-o-cha mengumumkan yang Bangkok akan melabur sepenuhnya dalam projek HSR itu, tanpa China sebagai rakan kongsi.

Perbincangan dengan China buntu kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan ke atas beberapa isu, iaitu kadar faedah pinjaman dari Beijing untuk projek itu dan desakan China untuk mendapatkan hak eksklusif bagi memajukan tanah di sepanjang jalan kereta api berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Mejar Jeneral Sansern Kaewkannerd dalam satu kenyataan berkata, keputusan Prayuth agar Thailand sahaja melabur dalam projek HSR tanpa China, dibuat berdasarkan kepentingan negara. “Perdana Menteri membuat keputusan itu berdasarkan kepentingan nasional, untuk ketika ini dan masa depan,” katanya mengenai projek HSR sepanjang 870 kilometer itu yang akan menghubungkan Bangkok ke Nong Khai di Laos yang dianggar melibatkan kos RM50 bilion.

Menurut Sansern, walaupun mengetepikan Beijing sebagai rakan kongsi, Perdana Menteri akan terus mengambil kontraktor China, selain menggunakan teknologi kereta apinya untuk projek berkenaan. Ia juga akan terus dirujuk sebagai projek Kereta api Laju Sino-Thai.

Berikutan pengumuman untuk melabur sepenuhnya dalam projek mega berkenaan, kerajaan berkata, keseluruhan projek HSR akan diperkecilkan dan jaraknya dipendekkan kepada 350 kilometer menghubungkan hanya Bangkok dan Nakhon Ratchasima. Menurut kerajaan, kereta api HSR akan bergerak pada kelajuan 250 kilometer sejam dan sebahagian besar perkhidmatan itu adalah untuk mengangkut penumpang.

Keputusan kerajaan untuk menjadi pelabur tunggal telah mengundang kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejajiva yang menggesa agar projek itu dikaji semula, dengan mendakwa projek yang diperkecilkan itu tidak boleh dijustifikasikan dari segi ekonomi.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri dan disiarkan media, pemimpin Parti Demokrat itu berkata, kewajaran kewangan dan ekonomi projek itu boleh terhakis secara mendadak kerana kereta api HSR hanya akan bergerak untuk jarak yang jauh lebih pendek antara Bangkok dan Nakhon Ratchasima.