Tekanan penghijrah memuncak di sempadan Austria

Tekanan penghijrah memuncak di sempadan Austria

VIENNA, 14 Sept (AFP) – Ketegangan memuncak di Austria hari ini ketika ribuan penghijrah masuk dari Hungary, tidak dapat meneruskan perjalanan ke Jerman setelah Berlin mengenakan semula kawalan sempadan.

Menteri Luar Negeri, Sebastian Kurz mengatakan melainkan Austria meniru Jerman dan mengenakan semula pemeriksaan sempadannya, negara itu akan ‘sepenuhnya ditenggelami dalam masa beberapa hari’.

“Kami perlu berhati-hari bahawa jika membiarkan sempadan terbuka, setiap hari kita akan menerima 10,000 orang yang kemudian menetap di Austria. Situasi geografi kita adalah kita adalah negara terakhir, negara sasaran yang kurang penting, dalam rangkaian sebelum Jerman,” kata Kurz lewat Ahad.

Penghijrah dan pelarian menunggu dokumen mereka selepas menyeberangi sempadan Macedonia-Greece berhampiran Gevgelija, pada 14 September. – AFP
Penghijrah dan pelarian menunggu dokumen mereka selepas menyeberangi sempadan Macedonia-Greece berhampiran Gevgelija, pada 14 September. – AFP

Kelihatannya terdapat perbalahan dalam kerajaan Austria dengan Canselor Werner Faymann – dari parti berlainan dengan Kurz – mengatakan pada Ahad bahawa tidak akan ada kawalan sistematik, hanya pemeriksaan.

Faymann dijangka akan bertemu Canselor Jerman, Angela Merkel di Berlin pada Selasa, menurut pejabat Faymann.

Semalaman sahaja, sekitar 4,500 penghijrah memasuki Austria di sempadan utama pusat penyeberangan di Nickelsdorf dengan polis mengatakan mereka menjangkakan ribuan lagi hari ini.