Teknik efektif sampai maklumat

Teknik efektif sampai maklumat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Penyebaran maklumat yang efektif mengenai dengan kegiatan atau projek yang dilaksanakan oleh sesebuah persatuan dan organisasi bukan sahaja memerlukan pengendalian maklumat yang tepat tetapi menggunakan saluran media dalam penyebaran maklumat berkenaan juga boleh meningkatkan lagi keberkesanan pendedahan projek itu kepada orang ramai.

Sehubungan itu, seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada penuntut Universiti Brunei Darussalam, ahli-ahli Alumni Brunei Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dan Kesatuan Graduan Universiti Brunei Darussalam (GOG-UBD) serta ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan diberikan pendedahan mengenai kaedah amalan hubungan media yang efektif dan membangunkan hubungan dengan jurnalis yang kukuh dalam Bengkel Pendekatan Media yang berlangsung di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar UBD, kelmarin.

Bengkel yang dikendalikan oleh ahli Alumni UBD dan juga ahli Alumni YSEALI Brunei, Awangku Muhd Al-Muttaqibillah bin Pengiran Haji Hassan, dihasratkan untuk menyediakan golongan belia dengan kaedah dan amalan yang terbaik untuk mengamalkan hubungan media yang efektif serta menyampaikan acara, maklumat, kempen serta projek mereka kepada orang ramai dengan lebih berkesan.

Antara para peserta yang menyertai Bengkel Pendekatan Media di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar UBD, kelmarin.
Antara para peserta yang menyertai Bengkel Pendekatan Media di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar UBD, kelmarin.
Dr. Edward Findlay (tengah) bergambar ramai bersama para peserta bengkel berkenaan.
Dr. Edward Findlay (tengah) bergambar ramai bersama para peserta bengkel berkenaan.

Semasa bengkel itu, para peserta diberikan maklumat mengenai dengan media-media tempatan yang ada, membangunkan portfolio kelab atau persatuan mereka, cara untuk mengendalikan sidang media dan membuat siaran akhbar serta juga cara yang terbaik untuk menggunakan media secara efektif bagi menyampaikan mesej mereka kepada orang ramai.

Para peserta bengkel yang menyertai dan berjaya menamatkan bengkel itu turut menerima sijil penyertaan mereka yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Dr. Edward Findlay, yang juga merupakan tetamu khas bagi bengkel setengah hari itu. Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden GOG-UBD, Awang Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan.

Pada akhir bengkel, para peserta turut menyatakan bahawa mereka merasa lebih yakin untuk memainkan peranan sebagai ahli perhubungan media bagi persatuan atau kelab masing-masing khususnya ketika berkerjasama dengan media untuk menyebarkan maklumat yang tepat dengan berkesan dan efektif.

ARTIKEL YANG SAMA