Teknik fertigasi dalam pertanian moden

DALAM usaha Negara Brunei Darussalam untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing, sektor pertanian merupakan industri yang dikenal pasti sebagai sektor yang berpotensi untuk dikembangmajukan.

Meskipun sumbangan industri pertanian dicatatkan sebanyak 0.4 peratus pada tahun 2015, namun catatan itu menjana satu pertumbuhan dan peningkatan yang baik dari tahun 2010 sehinggalah tahun 2015.

Selaras dengan peningkatan bidang industri ini, pihak-pihak sekolah tertentu di Negara Brunei Darussalam telah menawarkan pelbagai jenis program pertanian sekali gus menumpukan pendekatan yang mengambil kira kaedah yang ekonomik dan berpotensi untuk menyokong kepada aktiviti pertanian dengan kos yang efektif.

Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Birau Tutong merupakan salah sebuah sekolah yang melaksanakan program pertanian bagi para pelajar pra-vokasional. Selain dari memberi latihan dan pendedahan dalam sektor pertanian, sekolah ini turut memastikan program pertaniannya adalah mengikut perkembangan semasa dalam industri tersebut khususnya dalam mengamalkan pendekatan yang terbaik dalam penjimatan kos.

Berikutan dengan itu, sekolah tersebut menjadi sekolah pertama yang mempraktikkan kaedah sistem fertigasi, iaitu satu kaedah penanaman di mana baja diberi kepada tanaman melalui sistem pengairan (irrigation) secara serentak.

Para pelajar ketika melakukan proses penanaman.
Antara pelajar-pelajar yang mengikuti projek tersebut.

Kaedah fertigasi yang diaplikasikan dalam program pertanian di sekolah ini merupakan kaedah alternatif dalam menggantikan kaedah tradisional (konvensional) terutamanya bagi mengatasi masalah tanah (seperti tanah mati, tidak subur, masam, berbatu, tercemar dan sebagainya).

Sistem ini lebih ekonomi memandangkan medium yang biasa digunakan ketika mempraktikkan teknik ini yang menggunakan sabut kelapa atau sekam bakar (tanpa penggunaan tanah) dan praktikal untuk tanaman sayur jenis buah-buahan seperti tomato, terung, lada, strawberi dan lain-lain.

Pembelajaran teknik sistem fertigasi merupakan program khusus untuk pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional di sekolah tersebut yang memberikan tumpuan kepada penanaman lada menggunakan kaedah ini. Dalam membina kefahaman dan kemahiran yang lebih baik dengan sektor pekerjaan sebenar, pihak sekolah telah menjalin kerjasama dengan salah sebuah syarikat yang juga mengamalkan teknik fertigasi, Syarikat Eco Nadi Agrobiz.

Usaha sama ini dijalin melalui projek pertanian secara moden dengan kaedah sistem fertigasi yang bertujuan untuk mencari alternatif yang lebih baik khususnya dalam pertanian di samping menyediakan pelajar-pelajar ini dengan kemahiran pertanian, pengurusan kewangan, pemasaran serta mampu menyemai nilai-nilai dan asas berkebun untuk menjana sumber pendapatan selepas mereka tamat dalam program pembelajaran mereka nanti.

Melalui projek ini juga, para pelajar berpeluang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke ladang syarikat tersebut dan mengikuti ceramah, sesi perbincangan serta meninjau dengan lebih dekat tunjuk cara pelaksanaan teknik sistem fertigasi.

Dalam mengukuhkan lagi pengajaran dan pembelajaran dalam teknik tersebut, guru kelas bagi program pra-vokasional di sekolah tersebut turut mengikuti kursus di syarikat berkenaan.

“Dengan mengikuti kursus berkenaan, saya boleh mengenali dengan lebih lanjut Teknik Fertigasi. Selain itu, saya diajar cara-cara pemasangan paip untuk berkebun, cara-cara menggunakan baja dengan betul, cara mengawal penyakit yang boleh merosakkan tanaman lada, cara memantau tanaman dari benih lada hingga berbuah dan lain-lain lagi,” kata Awang Jones bin Luar, salah seorang guru yang mengikuti projek tersebut.

Bagi Awang Zahiruddin bin Anuar, pelajar pra-vokasional di sekolah tersebut, “Kami diberi tanggungjawab untuk mengendalikan Sistem Fertigasi seperti menyukat baja, mengehadkan masa, menyemai benih lada dan lain-lain. Di samping itu, kami diajar untuk menimbang, membungkus lada untuk dijual serta menyelenggarakan catatan keluar masuk wang bagi kitaran modal seterusnya.”

Para pelajar menimbang hasil lada yang sudah matang.

Menurut Awang Mohd Jalaluddin bin Jali, seorang lagi pelajar yang terbabit dalam projek itu, “Minat itu datang setelah kami dibawa melawat ke ladang Syarikat ECO Nadi Agrobiz.

“Selain melihat demonstrasi dari pengurus syarikat, Cikgu Jones juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar tentang pengendalian sistem ini termasuk cara-cara berkebun hinggalah ke pemasaran buah lada. Saya berharap akan dapat meneruskan berkebun menggunakan kaedah Sistem Fertigasi karena ia boleh dikerjakan seorang diri tanpa memerlukan banyak tenaga buruh.”

Cabaran-cabaran

Antara cabaran yang dihadapi selama projek ini dijalankan adalah perlunya mengawasi tanaman dan memastikan supaya sumber air dan baja adalah mencukupi setiap hari.

Sementara itu, para guru juga mengakui untuk perlu belajar lebih lanjut mengenai teknik sistem fertigasi daripada orang yang lebih berpengalaman serta seterusnya mengajarkannya kepada pelajar pra-vokasional secara berperingkat-peringkat dengan mengambil kira keupayaan para pelajar agar sistem fertigasi dapat difahami secara terperinci. Pengawasan disiplin pelajar juga penting umpamanya ketika menggunakan peralatan berkebun, mencuci tangan selepas berkebun dan sebagainya.

Dengan manfaat yang dapat dilihat kepada para pelajar serta kesinambungannya kepada sektor pertanian, projek seperti ini diharap akan dapat diteruskan khususnya dalam membukakan peluang yang lebih luas kepada pelajar-pelajar pra-vokasional untuk bekerja sendiri dan menjana pendapatan setelah tamat persekolahan.

Dalam hal ini, Awang Jones mengongsikan bahawa pihak sekolah melalui guru kelas dan Syarikat Eco Nadi Agrobiz akan terus bekerjasama untuk menilai keupayaan pelajar-pelajar bertani menggunakan sistem fertigasi sekiranya ada pihak yang berkeinginan untuk membantu pelajar-pelajar lepasan pra-vokasional.

Dengan program latihan dan projek usaha sama yang ada di peringkat institusi pendidikan seperti di sekolah ini, setentunya akan memberikan kemahiran yang relevan khususnya kepada lepasan sekolah khasnya dalam sektor pertanian memandangkan kaedah yang diaplikasi tersebut turut diamalkan di kalangan syarikat-syarikat pertanian di Negara Brunei Darussalam.