Teknik pengajaran perlu seiring perubahan teknologi

Teknik pengajaran perlu seiring perubahan teknologi

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei. – Pengetahuan dan kemahiran dalam pembelajaran dan pendidikan abad ke-21 memiliki banyak elemen baru untuk diadaptasikan terutama sekali buat guru-guru sekolah di dalam dunia teknologi info-komunikasi (ICT) masa kini.

Sejajar dengan perubahan zaman, teknik pembelajaran turut berubah dan memerlukan guru-guru untuk mengubah dan meningkatkan teknik mengajar mereka agar lebih efektif dan menyeronokkan.

Perkara itu dinyatakan oleh dua guru inovatif tempatan yang baru pulang daripada menyertai Persidangan Pertukaran Pendidik Global (E2) yang diadakan di Redmond, Washington, Amerika Syarikat, pada 29 April hingga 1 Mei yang lalu, dalam satu sidang media yang berlangsung di Pejabat Microsoft Brunei, di Bangunan PGGMB, di sini, hari ini.

Bersama kira-kira 300 pendidik dan duta pelajar terpilih dari seluruh dunia, Awang Walid bin Misli, 27 dari Sekolah Rendah Puni, Temburong dan Awang Mohammad Shamry bin Haji Mohd Sani, 40 adalah dua guru tempatan yang diiktiraf sebagai Pakar Pendidik Inovatif Microsoft (MIEE) 2015.

Kedua-dua guru yang dihantar oleh Microsoft Brunei dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (di bawah memorandum persefahaman Rakan Pembelajaran) itu berkongsi pengalaman mereka yang berpeluang untuk belajar dan bekerjasama secara berpasukan bersama pendidik di seluruh dunia.

Kedua-dua guru tempatan bergambar kenangan di hadapan ibu pejabat Microsoft, di AS.
Kedua-dua guru tempatan bergambar kenangan di hadapan ibu pejabat Microsoft, di AS.

Ditanya hasrat setelah mengikuti persidangan itu, Awang Walid menyeru Kementerian Pendidikan agar menggunakan beliau sebagai mentor untuk guru-guru di negara ini menggunakan teknologi sebagai teknik mengajar yang lebih efektif.

“Saya mencari platform tersebut untuk menginspirasi guru-guru di negara ini menggunakan kemudahan teknologi yang disediakan agar aktiviti mengajar dan belajar lebih efektif sesuai dengan Pendidikan Abad ke-21 ini,” jelasnya.

Sementara itu, Awang Shamry pula berkata, untuk mengadaptasi teknologi di dalam teknik mengajar perlu ada keberanian, keinginan mencuba dan seterusnya inisiatif untuk meningkatkan diri ke peringkat yang seterusnya sama seperti yang menjadi inspirasi beliau ketika berada dalam persidangan tersebut.

“Kadang-kadang usia menjadi alasan untuk mendalami teknologi tetapi saya rasa saya perlu meningkatkan diri dan berubah ke arah pendidikan abad ke-21 dan sudah tiba masanya untuk saya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mempelajari sesuatu yang baru,” katanya lagi.

Antara yang dikongsi oleh kedua-dua guru tersebut adalah latihan Educator-Led, sesi serantau, sesi Global Educator Challenge Working, pembentangan pendidik/pelajar global, lawatan ke Pameran Teknologi dan Ekspo Kent Tech.

Awang Walid turut mengongsikan pengalaman beliau ketika membuat kerja berpasukan bersama pendidik dari negara lain yang menyukarkan beliau untuk berkomunikasi dengan baik, namun dengan teknologi dan kerja berpasukan serta kerjasama yang berterusan menjadikan kumpulan beliau menyampaikan idea yang baik.

Dalam kumpulan berasingan pula, Awang Shamry menyatakan pengalaman yang sama apabila kesukaran untuk berkomunikasi dengan salah seorang ahli kumpulannya yang kurang memahami Bahasa Inggeris menjadikan beliau terasing dan tidak berani untuk menyampaikan idea dalam projek mereka.

Pengurus Negara Microsoft Brunei, Dayang Haniza binti Zakariya pula berkata, Microsoft akan terus menyokong untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam sistem pendidikan dan telah bekerjasama dengan guru-guru tempatan dan Kementerian Pendidikan serta institusi pendidikan swasta yang lain di negara ini untuk melengkapkan sekolah-sekolah, guru dan pelajar dengan penyelesaian pembelajaran pintar seperti Microsoft Office 365 dan peranti Windows 8 yang dilengkapi dengan aplikasi pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA