Teknologi beri impak besar ke atas pasaran

Teknologi beri impak besar ke atas pasaran

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Teknologi kini mula memberi impak besar ke atas pasaran kewangan dengan pendigitalan dan pembangunan inovasi kewangan kini mengambil tempat dalam pasaran, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh.

Beliau berkata perkembangan ini menyediakan ruang yang lebih luas dalam pasaran dan mengubah saluran tradisi, sekali gus membolehkan pelabur memperoleh manfaat daripada akses yang lebih luas selain penjimatan kos.

“Dalam pasaran pesat membangun dengan struktur legasi tidak wujud, teknologi melonjakkan kebanyakan pasaran ini untuk menguasai teknologi dan media digital secara lebih pantas,” katanya.

Ranjit berkata firma pengurusan aset dunia kini giat menyepadukan perkakasan pelaburan automasi seperti ‘penasihat robo’ sebagai model perniagaan memandangkan kosnya lebih rendah selain mudah.

Aset pengurusan kekayaan digital diunjur mencecah antara AS$55 bilion dan AS$60 bilion tahun ini, meningkat daripada AS$16 bilion pada akhir 2014, katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pendidikan Pelabur Global IFIE-IOSCO 2015, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata wujud kebimbangan bahawa algoritma berbeza yang digunakan oleh ‘penasihat robo’ (penasihat kewangan yang memberi nasihat secara dalam talian) boleh menyebabkan perbezaan ketara dalam cadangan portfolio, yang memerlukan pelabur dilengkapi dengan pengetahuan luas supaya mereka dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat serta menilai risiko yang terlibat, jika menyertai platform berkenaan.

Mengenai persidangan hari ini, beliau berkata objektif untuk mendidik pelabur adalah dengan menggalakkan penyertaan lebih ramai pelabur yang bermaklumat supaya menyedari peluang dan risiko, memandangkan spektrum produk pasaran modal tersedia dalam pasaran kewangan.

Beliau berkata landskap luaran yang mencabar dan ketidaktentuan yang melanda ekonomi dunia, menjejaskan keyakinan pelabur yang mudah terdedah selain cenderung membuat keputusan pelaburan yang tidak rasional.

Pendidikan dan pengupayaan pelabur sangat penting dalam memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan bagi menangani kompleksiti pasaran dan membuat pilihan pelaburan bermaklumat tanpa mengira persekitaran mereka beroperasi, kata Ranjit. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA