Teknologi halang prestasi pelajar

Teknologi halang prestasi pelajar

TOKYO, 15 Sept (AFP) – Komputer tidak ketara sekali meningkatkan keputusan akademik para pelajar sekolah dan malah boleh menghambat prestasi, menurut laporan OECD hari ini yang menilai impak teknologi dalam bilik darjah di seluruh dunia.

Sementara hampir tiga suku pelajar di negara-negara yang ditinjau menggunakan komputer di sekolah-sekolah, laporan daripada Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi(OECD) itu mendapati teknologi tidak membuat peningkatan ketara dalam keputusan.

Sebaliknya, di sekolah-sekolah di beberapa kawasan di Asia yang mencapai keputusan tinggi, yang mana telefon pintar dan komputer telah menjadi bahagian penting kehidupan seharian orang ramai, teknologi kurang digunakan luas dalam bilik darjah.

Di Korea Selatan, para pelajar menggunakan komputer bagi purata sembilan minit di sekolah dan di Hong Kong, hanya 11 minit – hanya sebahagian kecil dari 58 minit yang dihabiskan di Australia, 42 di Greece dan 39 di Sweden.

“Komputer yang digunakan di bilik darjah, impaknya pada prestasi pelajar adalah paling bercampur-baur,” pengarah pendidikan OECD Andreas Schleicher berkata dalam prakata laporan itu, laporan pertama oleh kumpulan pemikiran itu tentang topik berkenaan.

“Pelajar-pelajar yang menggunakan komputer sangat kerap di sekolah, berprestasi teruk dalam hasil kebanyakan pembelajaran, meskipun selepas mengambil latar belakang sosial dan demografi pelajar.”

Laporan itu menilai impak teknologi yang digunakan di sekolah pada keputusan ujian antarabangsa, seperti ujian Pisa, OECD yang diduduki di berbelas-belas buah negara di seluruh dunia dan peperiksaan lain yang menilai kemahiran digital.

Ia mendapati sistem pendidikan, yang begitu banyak melabur dalam maklumat dan teknologi komunikasi tidak melihat ‘peningkatan ketara’ dalam keputusan bagi membaca, matematik atau sains.

OECD menggesa sekolah-sekolah bekerjasama dengan guru-guru untuk mengubah teknologi menjadi alat paling hebat dalam bilik darjah dan memajukan perisian lebih sofistikated bagi pengujikajian dan simulasi, media sosial dan permainan.

“Sumbangan sebenar ICT yang boleh dibuat kepada pengajaran dan pembelajaran belum lagi direalisasi dan dieksploitasi,” simpulnya.