Teknologi hijau akan sumbang RM70 bilion kepada KDNK

Teknologi hijau akan sumbang RM70 bilion kepada KDNK

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) – Sektor teknologi hijau berpotensi menyumbang sehingga RM70 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) Ir Ahmad Hadri Haris.

Sektor akan terus menawarkan peluang untuk membangunkan ekonomi negara secara lestari menerusi strategi dan tindakan tebatan iklim, katanya dalam laporan tahunan 2014 perbadanan.

Langkah intervensi positif ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon negara kepada 196.5 juta tan bersamaan karbon dioksida (MtCO2eq) menjelang 2020 dan 248 MtCO2eq pada 2030.

“Cadangan sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) akan menyaksikan negara melepasi sasaran yang ditetapkan pada 2009 iaitu mencapai pengurangan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2020, berasaskan paras 2005,” katanya. GTMP adalah garis panduan komprehensif ke arah mencapai objektif yang ditetapkan dalam Dasar Teknologi Hijau Negara 2009, bertumpu kepada lima sektor utama iaitu tenaga, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa dan pengurusan air.

Ahmad Hadri berkata mempercepatkan penggunaan teknologi hijau kekal sebagai keutamaan negara memandangkan Malaysia berusaha untuk muncul sebagai Komuniti Hijau menjelang 2030.

“GreenTech Malaysia yakin unjuran bagi sektor hijau kekal cerah,” katanya menambah ia juga akan tumbuh pantas untuk menjadi satu daripada penyumbang utama kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia.