Teknologi hijau dan amalan hijau perlu seiring

Teknologi hijau dan amalan hijau perlu seiring

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Teknologi hijau perlu seiring dengan amalan hijau jika Malaysia mahu mencapai matlamatnya menjadi hab teknologi hijau serantau dan menyasarkan pendapatan negara kasar RM7.24 bilion menjelang 2020, kata Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yong Teng Koon berkata, teknologi hijau meliputi pelbagai industri dan agenda hijau bukan sekadar teknologi canggih, tetapi juga amalan mampan.

“Sektor perhutanan Malaysia sudah lama menyokong pengurusan hutan mampan bagi memastikan sumber hutan kita diurus secara lestari,” katanya.

Yong berkata, Skim Pensijilan Kayu Malaysia (SPKM) MTCC, yang beroperasi sejak 2001, menawarkan standard pengurusan hutan yang menekankan kepentingan bukan sahaja hijau, tetapi juga amalan mampan dalam pengurusan hutan yang amat bernilai itu, merangkumi aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi.

“Di samping nilai ekonomi, hutan menawarkan perkhidmatan ekologi lain seperti bekalan air bersih dan penyerapan karbon dioksida,” katanya.

Lebih satu pertiga hutan rizab kekal Malaysia telah disahkan di bawah SPKM, katanya.

Yong berharap kawasan hutan yang lebih besar di negara ini akan menerima pensijilan itu.

“Kami menggesa pengurus hutan dan penggiat industri perkayuan untuk menimbangkan pensijilan pada masa depan.

“Manfaatnya termasuk akses pasaran yang lebih luas serta sumber yang mampan di samping pada masa sama menyumbang kepada ekosistem lebih sihat, sama ada dari segi sosial, ekonomi atau alam sekitar,” katanya.– Bernama