Teknologi ICS di Sarawak dikaji

Teknologi ICS di Sarawak dikaji

KUCHING, 26 Sept – Teknologi Sistem Mahkamah Bersepadu (ICS) yang diguna pakai di Mahkamah Sarawak akan dijadikan perbandingan untuk menambah baik sistem di mahkamah lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahkamah lain, misalnya di Semenanjung, mempunyai sistem pengurusan tersendiri namun masih boleh ditambah baik.

“Lawatan saya untuk melihat sistem yang dipakai di Mahkamah Kuching di mana mereka mempunyai satu sistem yang begitu canggih dari segi teknologi.

“Saya ditunjuk tentang ‘practicality system’ tersebut dan mendengar pandangan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan daripada peringkat hakim hingga ke peringkat peguam bela dan peguam cara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Bernama dan RTM ketika mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Kuching, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said (dua, kiri) ketika melawat Mahkamah Khas Rasuah di Kompleks Mahkamah Kuching kelmarin. – Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said (dua, kiri) ketika melawat Mahkamah Khas Rasuah di Kompleks Mahkamah Kuching kelmarin. – Bernama

Terdahulu ketibaan beliau disambut oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak, Datuk Yew Jen Kie, Datuk Rhodzariah Bujang dan Stephen Chung Hian Guan serta Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah Sarawak Ismail Brahim.

Mengulas lanjut, Azalina berkata berdasarkan penerangan yang diberi serta pemerhatiannya, beliau menyifatkan ICS sebagai sangat mengagumkan.

“Di Mahkamah Semenanjung juga memiliki sistem tersendiri tapi banyak yang perlu kita perbaiki, itu sebab saya buat lawatan rasmi ini untuk meninjau dan membuat perbandingan antara sistem yang ada di Sabah Sarawak dengan yang ada diSemenanjung,” katanya.

Selain Mahkamah di Sarawak, ICS yang diperkenalkan sejak tahun 2008 yang diterajui Sarawak Information System Sdn Bhd turut diguna pakai di Mahkamah di Sabah. – Bernama